TNB, CMSB jalin kerjasama tawar rumusan solar bagi capai matlamat ESG | DagangNews Skip to main content

TNB, CMSB jalin kerjasama tawar rumusan solar bagi capai matlamat ESG

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB), melalui anak syarikat milik penuhnya GSPARX Sdn Bhd bekerjasama dengan Central Medicare Sdn Bhd (CMSB), anak syarikat HARPS Global Pte Ltd memperkenalkan sistem solar fotovoltaik di tapak kilang dan asrama milik CMSB di Teluk Intan, Perak.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, pelaksanaan inisiatif teknologi hijau itu sejajar dengan dedikasi pihaknya untuk prinsip persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dan bertujuan meningkatkan kesan positif kemajuan mesra alam sambil menggalakkan kesejahteraan sejagat.

 

“Majlis menandatangani perjanjian itu melambangkan komitmen padu semua pihak untuk bekerjasama ke arah matlamat bersama, mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 melalui amalan mampan dalam ekosistem perniagaan dan komuniti kami. 

 

"Pemasangan akan disiapkan dalam dua fasa - yang pertama pada penghujung September 2023 dan yang kedua penghujung Jun 2024.

 

"Setelah selesai pemasangan, solar atas bumbung boleh menyalurkan 8,163 MWj tenaga solar setiap tahun. Ini bersamaan dengan lebih daripada 5,000 tan ofset karbon dioksida mengimbangi setiap tahun, bersamaan lebih 58,000 anak pokok yang ditanam selama 10 tahun," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, perjanjian bekalan tenaga boleh baharu (SARE) itu ditandatangani oleh Ketua Peruncitan Negeri (Perak) Bahagian Peruncitan TNB, Mohd Azhar Rashid; Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri; Ketua Pegawai Eksekutif Global Kumpulan HARPS Global Pte Ltd, Haziq Zairel Oh, sambil disaksikan Ketua Rakan Kongsi Runcit Negeri Perak Bahagian Runcit TNB, Mohd Rohaizan Shamsuddin dan Ketua Pegawai Teknologi CMSB, Lee Chee Sian.

 

Selain menandatangani SARE, CMSB berjaya memperbaharui langganan Tarif Elektrik Hijau (GET) dengan kapasiti 10 gigawatt jam bagi menyokong komitmen Malaysia untuk menjadi negara sifar karbon seawal 2050.

 

 

tnb
                                                                             Datuk Baharin Din

 

 

Sementara itu, Haziq berkata, sistem solar dengan jumlah kapasiti 6.039 megawatt puncak (MWp) itu dijangka membantu mengurangkan kos sehingga RM72 juta dalam tempoh 25 tahun.

 

Katanya, sistem solar fotovoltaik bahagian atas bumbung itu boleh mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 5,215 tan setahun.

 

 

tnb
Haziq Zairel Oh (tiga, kiri), bersama Elmie Fairul Mashuri (dua kiri) dan Mohd Azhar Rashid (tiga, kanan) memegang dokumen perjanjian bekalan tenaga boleh baharu yang ditandatangani. Turut kelihatan, Mohd Rohaizan Samsuddin, (kanan), Lee Chee Sian (dua, kanan), dan Ketua Pembangunan Projek GSPARX, Mohd Shuhaimi Ismail (kiri).

 

 

"Kami memberi penekanan penting kepada bicara alam sekitar dan komited untuk meminimumkan kesan operasi kami terhadap alam sekitar," katanya.

 

Setakat ini GSPARX memperoleh sebanyak 414 projek dengan organiasi komersial, penrindustrian dan kerajaan, menjanai kapasiti solar sejumlah 279.2 MWp. - DagangNews.com