KUALA LUMPUR 5 April - Pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam meraikan para ketua pengarang dan pengarang kanan media dalam majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar.
Lebih 30 pengarang daripada organisasi media termasuk DagangNews.com hadir serta beramah mesra dengan barisan pengurusan TNB, yang diketuai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.
“Media dengan peranannya sebagai penyampai maklumat dan lidah masyarakat memerlukan TNB, begitu juga sebaliknya TNB melalui media dapat menghebahkan pemaklumannya kepada rakyat,” katanya dalam ucapan aluannya di majlis itu.
Beliau menambah kata, media sekian lama membantu TNB untuk menyampaikan kepada masyarakat mengenai perkhidmatan elektrik negara bermula sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB) pada 1949, diikuti Lembaga Letrik Negara (LLN) pada tahun 1965 dan akhirnya menjadi TNB (1990).
Menuju masa depan, kata Megat Jalaluddin, TNB telah merencanakan pelan mengurangkan pelepasan karbon dalam aspirasinya untuk menjadi pembekal terunggul penyelesaian tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
“TNB sebagai Penggerak Kemajuan Negara sejak sekian lama, mendukung inisiatif Kerajaan dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi menjana tenaga lebih bersih dalam usaha mengukuh komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.
Di bawah NETR, TNB telah diamanahkan sebagai peneraju projek Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS), serta pembakaran bersama hidrogen dan ammonia, yang kesemuanya penting untuk memajukan agenda hijau negara sambil memupuk pertumbuhan ekonomi. - DagangNews.com