TNB jalankan kerja perentangan talian elektrik di WCE | DagangNews Skip to main content

TNB jalankan kerja perentangan talian elektrik di WCE

 

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bahawa kerja-kerja merentangkan kabel penghantaran talian atas 132kV akan dijalankan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

 

Kerja-kerja ini akan bermula Selasa, 12 Januari hingga Ahad, 17 Januari 2021 di daerah Klang, Selangor.

 

Menurut TNB, kerja-kerja yang dijalankan mulai pukul 10 pagi hingga 4 petang ini telah mendapat kelulusan
Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pengurusan WCE.

 

"Kerja merentang kabel ini akan dilakukan di sekitar KM36.5 hingga KM39.5 lebuh raya tersebut. 

 

"Ini bagi menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Kapar dan Meru dengan PMU Vallambrosa untuk memperkukuhkan sistem Grid Nasional di Lembah Klang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

TNB berkata, pihaknya akan memastikan kawalan trafik dan papan tanda amaran keselamatan akan diletakkan di kawasan yang terlibat bagi memastikan pergerakan kenderaan terkawal dan berjalan lancar.

 

"TNB memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul. Kerjasama dan keperihatinan semua pihak termasuk pengguna lebuh raya ini amatlah dihargai," katanya. - DagangNews.com