Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 2 Julai - Pemain industri utiliti terbukti kekal berdaya tahan di sebalik pandemik COVID-19 yang sudah berlarutan lebih setahun.
Ini menyaksikan syarikat-syarikat terlibat mampu merekodkan pendapatan yang kukuh dengan hasil dividen antara 4 hingga 7%.
Melihat kepada keyakinan sektor ini, Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor ini dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menjadi pilihan utama.
Firma itu meletakkan harga sasaran (TP) TNB pada RM11.46 diikuti Petronas Gas Berhad (RM17.06), Gas Malaysia Bhd. (RM2.91) yang dikawal selia di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) dengan hasil dividen lebih 4%.
Bagi syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP), pendapatan Malakoff Corp. Bhd. (TP : RM1.05) dan YTL Power International Bhd. (TP : RM1.05) disokong oleh kontrak pembelian tenaga (PPA) bagi aset baharu sekali gus dapat membantu merapatkan jurang pendapatan apabila IPP lama tamat tempoh.
Penganalisisnya, Teh Kian Yeong berkata, kebanyakan IPP ini juga menawarkan hasil dividen yang menarik dengan melebihi 6%.
"Sementara itu, pemain infrastruktur khusus seperti Pestech International Bhd. (TP : RM1.39) menawarkan pertumbuhan yang menarik di Kemboja dan juga menerusi aliran kontrak landasan elekrik di rantau ini.
"Namun, TNB tetap menjadi pilihan utama kami memandangkan penilaiannya yang murah dan mempunyai pendapatan yang berdaya tahan," katanya.
Menurutnya, sektor utiliti masih merupakan peluang pelaburan yang baik dengan mengambil kira profil pendapatan dan konsesi yang kukuh meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.
Mengenai TNB, katanya, di sebalik syarikat menyasarkan untuk memperluaskan portfolio RE bagi menangani kebimbangan terhadap keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), harga saham TNB juga berada dalam tekanan.
Ini memandangkan pegangan asingnya menyusut ke paras 9 tahun terendah pada 12.3% setakat akhir April lalu.
"Namun begitu, kebimbangan mengenai ESG akan terus mengheret turun prospek TNB sehinggalah syarikat ini membina aset RE bagi menangani isu tersebut," tambahnya.
Setakat ini, katanya, TNB menyasarkan untuk melabur dalam loji arang greenfield bagi memperluaskan aset RE termasuk hidro sehingga 8,300 MW menjelang 2025 berbanding 3,398 MW ketika ini.- DagangNews.com