TNB latih tenaga kerja ekonomi gig pasca pandemik | DagangNews Skip to main content

TNB latih tenaga kerja ekonomi gig pasca pandemik

Peserta TNB Reskilling Malaysia (TRM) menghadiri program latihan yang diadakan di TNB Integrated Learning Solutions (ILSAS).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperluaskan skop Program TNB Reskilling Malaysia (TRM) mencakupi sektor ekonomi gig yang kini semakin berkembang. 

 

Langkah itu diambil sebagai satu usaha mempercepatkan membantu pemulihan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

 

Sejajar dengan peralihan kepada pendigitalan iaitu ciri utama Revolusi Perindustrian 4.0 yang mendorong kepada peningkatan dalam aturan kerja yang lebih fleksibel dan tanpa majikan, usaha itu akan mendorong pekerja gig melonjakkan momentum pasaran buruh tempatan.

 

Menurut Ketua Pegawai Insan TNB, Wahizan Abd Rahman, cara bekerja sedang beransur-ansur beralih kepada kaedah remote dan hibrid, yang mana bekerja dari rumah sudah menjadi norma baru di Malaysia, lantas dijangka mendorong peningkatan permintaan pekerja gig.

 

“Tetapi ramai juga yang berdepan cabaran dalam mencari kerja atau perniagaan. Kami percaya, inilah masa yang sesuai untuk peserta ekonomi gig melangkaui peranan semasa mereka dan melatih semula diri untuk masa depan lebih baik, lebih cerah,” katanya.

 

Justeru, kata Wahizan, inisiatif TRM ini membantu mereka meningkatkan keupayaan agar boleh meneroka peluang ekonomi gig yang baharu dan lebih meluas, dalam usaha menambah pendapatan masing-masing.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solutions (ILSAS), Siti Sarah Mohd Said pula berkata, pihaknya mereka bentuk modul jangka pendek itu khusus untuk mempersiapkan para pekerja gig sejajar dengan kemajuan pasarannya.

 

 

tnb
Wahizan Abd Rahman

 

 

"Ini supaya mereka beroleh manfaat melalui penyertaan lebih bermakna berbekalkan kemahiran tambahan," katanya.

 

Latihan ditaja sepenuhnya oleh TNB dan syarat kemasukan ke program TRM untuk pekerja gig adalah mempunyai perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani pekerja dan syarikat (penyedia perkhidmatan) atau telah berjaya mendaftarkan perniagaan di bawah Suruhanjaya  Syarikat Malaysia atau mempunyai kelayakan perniagaan atau perjanjian berkaitan dengannya. 

 

 

tnb
Siti Sarah Mohd Said

 

 

Pekerja gig yang berminat boleh mendaftar dengan melengkapkan borang dalam capaian ini: shorturl.at/nHPVY

 

Pemilihan pekerja gig ini akan dilaksanakan melalui dua sesi pada bulan Jun 2022. Pekerja gig yang berjaya akan mengikuti latihan dalam bidang kemahiran digital, penyenggaraan penyaman udara, automasi dron untuk Industri 4.0 dan pembentukan minda bisnes.

 

Program TRM dilaksanakan oleh TNB ILSAS, di Bangi semenjak tahun 2020 apabila TNB diamanahkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas susulan pandemik COVID-19, bagi mendapatkan padanan pekerjaan kemudian menjalani program pemahiran atau latihan semula. - DagangNews.com