TNB lupus pelaburan bernilai RM67.04 juta dalam syarikat tenaga India | DagangNews Skip to main content

TNB lupus pelaburan bernilai RM67.04 juta dalam syarikat tenaga India

 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Topaz Energy Sdn. Bhd. (TNBTE) menjual semula kesemua 105.6 juta unit pelaburan debentur yang boleh ditukar (CCD) bagi Tranche 1, yang diterbitkan oleh syarikat tenaga dari India, GMR Bajoli Holi Hydropower Private Limited (GBHH). 

 

Menurut makluman TNB di Bursa Malaysia, pelaburan tersebut telah dilupuskan pada nilai ₹1,176 juta atau bersamaan RM67.04 juta. 

 

“Pada 5 April 2019, TNBTE telah melanggan pelaburan CCD bagi Tranche 1 bernilai ₹1,056 juta atau bersamaan RM62.36 juta. Projek itu dijangka memulakan operasi komersial pada Oktober 2019, tetapi ia tertangguh ekoran keadaan yang tidak diingini. 

 

“Susulan daripada penangguhan dalam penyempurnaan projek tersebut, TNBTE tidak meneruskan langganan pelaburan CCD bagi Tranche 2 bernilai ₹1,200 juta, yang pada awalnya dijadualkan bermula September 2019,” jelas TNB.

 

Sebagai rekod, GBHH merupakan anak syarikat kepada GMR Energy Limited (GEL).

 

Berikutan itu, TNBTE menyahlabur langganan tersebut yang berlaku antara TNBTE dan syarikat induk GEL, GMR Infrastructure Limited (GIL). 

 

Kata TNB, langkah itu dipacu oleh strategi kumpulan untuk menyelaraskan portfolio antarabangsanya, tidak lagi menumpukan kepada India, dan beralih kepada usaha untuk memupuk pertumbuhan di pasaran tumpuan seperti United Kingdom (UK), Eropah dan Asia Tenggara.

 

Dalam pada itu, langkah untuk melupuskan pelaburan itu juga dikatakan sejajar dengan inisiatif TNB untuk meneroka pilihan penjanaan bagi aset-asetnya di India serta pasaran bukan tumpuan.

 

“Pelupusan pelaburan ini tidak akan mendatangkan sebarang impak ke atas modal saham, pegangan saham oleh pemegang saham besar dan dijangka tidak memberi impak material ke atas aset bersih dan penggearan TNB,” jelas syarikat utiliti itu lagi. - DagangNews.com