TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah memainkan peranan sangat besar bukan sahaja sebagai pembekal utama tenaga negara tetapi juga dalam membangunkan kepentingan masyarakat.
Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TNB telah menyumbang kembali kepada rakyat dengan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan.
Syarikat tenaga itu sudah memberi semula kepada rakyat menerusi pembayaran dividen yang besar kepada kerajaan yang kemudian dibelanjakan kembali dalam bentuk peruntukan pembangunan.
Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) Perak, Sharul Rahman berkata, tarif elektrik yang rendah dinikmati pengguna setelah diberikan subsidi juga merupakan salah satu bentuk sumbangan TNB kepada rakyat.
Menurut beliau, ini menunjukkan tanggungjawab TNB melebihi daripada hanya menjadi pembekal elektrik.
"Sepertimana yang kita ketahui, kerajaan telah mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung sehingga tahun 2024.
"Walaupun kos bahan api naik tetapi kerajaan telah menanggung kos yang bertambah.
"Ini telah memberi manfaat kepada pengguna termasuklah harga elektrik yang telus dan adil serta bekalan tenaga yang mencukupi," ujarnya kepada DagangNews.
Jelas beliau, TNB juga telah memainkan peranannya semasa tempoh pandemik menerusi pemberian rebat.
"Kita sangat menghargai Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) iaitu pakej bantuan tambahan yang diberikan oleh kerajaan bersama TNB kepada semua pelanggan kediaman semasa pandemik.
"BPE dalam bentuk manfaat penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300kWj pertama untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
"Pada ketika itu rakyat merasa terkesan dan TNB telah memainkan peranan sebagai GLC apabila membantu rakyat secara keseluruhan," ujarnya.
Memberikan pandangannya kata Shahrul, TNB boleh memainkan peranan membantu kerajaan bagi menurunkan kos sara hidup terutama pada golongan usahawan.
Katanya, subsidi bekalan elektrik bersasar wajar diberikan oleh TNB kepada peniaga yang mempunyai premis perniagaan dengan jualan tidak lebih RM100,000 setahun
"Subsidi bekalan elektrik juga wajar diberikan kepada kilang-kilang pengeluaran produk industri kecil dan sederhana yang jualannya tidak lebih dari RM500,000 setahun.
"Dengan subsidi bekalan elektrik ini maka golongan usahawan dapat modal pusingan tambahan bagi mendepani isu kos sara hidup yang kian meningkat dan pada masa sama di dapat menurunkan harga jualan di pasaran.
"Inisiatif ini pastinya selaras dengan hasrat kerajaan di bawah pimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim," jelas beliau.
Dengan kira-kira 10 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia, TNB mampu mengekalkan kadar tarif antara yang terendah di rantau ini walaupun berdepan dengan kenaikan kos operasi.
Kebolehupayaan dan penyaluran bekalan elektrik berterusan berdasarkan standard antarabangsa menyamai negara maju juga dapat memastikan bekalan elektrik tidak terganggu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Bakti Generasi Perak, Mohd. Asrulnai Zaini berkata, TNB banyak terlibat dalam membantu golongan asnaf di negeri ini.
Kata beliau, sebagai contoh ialah program Baiti Jannati TNB iaitu membantu membaiki rumah penduduk asnaf menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri.
"Menurut rekod sejak dilaksanakan pada tahun 2007 sebanyak 128 rumah dibaik pulih dan dibina di negeri Perak sahaja dengan peruntukan sebanyak RM5.8 juta.
"Kita dapat lihat TNB telah mengeluarkan peruntukan yang besar kepada rakyat tanpa memikirkan keuntungan semata-mata.
"Kebanyakan penerima bantuan ini merupakan penduduk susah termasuk golongan ibu tunggal, golongan miskin bandar dan mereka yang tiada punca pendapatan.
"Tanggungjawab tersebut membuktikan TNB sentiasa bersama rakyat dalam membantu ketika berdepan situasi sukar," ujarnya.
Keprihatinan TNB dalam mendepani isu kesukaran masyarakat juga diakui Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Norhaslinda Zakaria terutamanya membabitkan rakyat miskin.
Beliau memberitahu, pihak TNB Cawangan Manjung misalnya baru-baru ini telah memberi bantuan kepada penduduk di Segari dekat Lumut yang berdepan masalah tunggakan bil elektrik.
Kebanyakan keluarga yang menerima notis pemotongan bekalan elektrik ini terdiri daripada keluarga nelayan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu agak sukar untuk mereka keluar ke laut.
"Bagaimana pun, hasil perbincangan pihak TNB Manjung akan membantu penduduk terkesan ini.
"Sebagai pemimpin masyarakat, saya amat menghargai perkara ini dan memuji kesediaan pihak TNB memahami kesukaran yang dihadapi rakyat khususnya golongan nelayan di sini," ujarnya. – DagangNews.com