TNB, MBS bekerjasama kurangkan jejak karbon | DagangNews Skip to main content

TNB, MBS bekerjasama kurangkan jejak karbon

Oleh YEO LI SHIAN

[email protected]

 

KUALA LUMPUR, 27 Okt. - Dalam usaha mengurangkan bebanan jejak karbon terhadap alam sekitar , syarikat peruncitan tenaga boleh diperbaharui di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB), GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) hari ini memeterai perjanjian dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk pemasangan panel solar di bumbung pejabat MBS. 

Projek pemasangan berkapasiti 720 kilowatt peak (kWp) yang dimeterai di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) dijangka dapat membantu MBS menjimatkan sehingga RM3.2 juta bil elektrik sepanjang tempoh kontrak 21 tahun. 

Menurut TNB, projek yang dijangka siap pada April 2021 itu dianggarkan dapat menjana sebanyak 919,800 kWh tenaga hijau pada tahun pertama.

Ini sekali gus membantu mengimbangi pelepasan karbon hasil pembakaran 35 tan metrik arang batu setahun atau bersamaan penyerapan karbon dioksida oleh hutan seluas 849 ekar setahun. 

TNB & MBS MoU

Dalam majlis yang disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun semalam, perjanjian tersebut telah dimeterai antara Datuk Zazali Salehudin dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmi Fairul Mashuri di Seremban, Negeri Sembilan. 

MBS merupakan pihak berkuasa tempatan ketiga selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang memanfaatkan kepakaran GSPARX dalam pemasangan dan operasi panel solar bumbung.

"Jalinan kerjasama antara GSPARX dan pihak berkuasa tempatan serta syarikat-syarikat ini diyakini dapat mendorong lebih ramai pengguna elektrik untuk menjadi pengeluar swaguna (prosumer)," kata TNB dalam satu kenyataan hari ini. 

Selain MBS, syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines Berhad (MAB) turut bekerjasama dengan GSPARX pada September lalu bagi memanfaatkan panel solar berkapasiti 2.210 MWp di empat bangunannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini, di bawah skim panel solar fotovoltaik (PV), Pemeteran Tenaga bersih (NEM) dan kegunaan kendiri yang dilaksanakan kerajaan, kira-kira 310 pelanggan memeterai perjanjian GSPARX menerusi perjanjian bekalan bagi tenaga boleh diperbaharui (SARE) dan pembelian terus bagi menjana kira-kira 54 MWp tenaga hijau. - DagangNews.com