TNB mengorak inisiatif elektrifikasi kenderaan syarikat untuk masa depan lestari | DagangNews Skip to main content

TNB mengorak inisiatif elektrifikasi kenderaan syarikat untuk masa depan lestari

Barisan Kepimpinan TNB, diketuai oleh Datuk Seri Baharin Din bergambar di hadapan armada elektrik baharu, simbol komitmen TNB yang tidak berbelah bahagi untuk eletrifikasi 30% daripada armada operasinya menjelang 2030.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB), syarikat tenaga terkemuka di Malaysia, merintis langkah mantap ke arah masa depan yang mampan dengan komitmen elektrifikasi 30% daripada kenderaan operasinya menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada strategi pengurangan karbon secara menyeluruh. 

 

TNB memaklumkan, langkah strategik itu selari aspirasi Malaysia neutral karbon menjelang 2050.

 

Dalam langkah penting komitmen itu katanya, TNB mempercepatkan peralihan kepada kenderaan  elektrik (EV) dengan menggunakan 98 unit baharu merangkumi 78 trak pikap elektrik dan 20 van elektrik, yang mana menjadikan jumlah keseluruhan EV dalam armada TNB kepada 127 buah.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din menegaskan, usaha itu menekankan komitmen TNB terhadap peralihan tenaga yang pantas dan bertanggungjawab. 

 

"Kami menyasarkan untuk menggantikan 30% iaitu lebih 1,000 kenderaan kepada EV menjelang 2030. Komitmen besar ini menyumbang secara signifikan kepada sasaran kerajaan mencapai 20% jualan EV menjelang 2030, selaras Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) 2020," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Baharin berkata, mengintegrasikan secara strategik penukaran armadanya kepada EV melalui proses penggantian jangka hayat guna, TNB menjangkakan kesan positif terhadap iklim dan keuntungan syarikat. 

 

"Langkah ini mendorong kami lebih dekat untuk mencapai Sifar Bersih 2050 melalui amalan mampan dalam operasi kami. Ini adalah keutamaan yang jelas kerana kami secara aktif menyumbang untuk membina ekosistem EV yang mantap," katanya.

 

 

tnb
Datuk Seri Baharin Din, mengambil alih kemudi pikap elektrik TNB, yang turut disertai Ketua Pengurusan Kenderaan TNB Global Business Solutions (TGBS), Mohammad Anas Ibrahim, melambangkan usaha bersama menuju masa depan yang lestari dengan mencapai Sifar Bersih 2050.

 

 

Menurut kenyataan itu, peralihan kepada kenderaan elektrik oleh TNB diunjurkan menghasilkan pengurangan tahunan sebanyak 2,200 hingga 4,833 tan CO2, bersamaan dengan kira-kira 88,000 hingga 193,320 pokok sebagai pengimbang menjelang 2030.

 

Katanya, manfaat ekonomi daripada inisiatif penggunaan EV oleh TNB adalah besar, dengan jangkaan apenjimatan kos antara 35% hingga 86% untuk pembaikan dan penyelenggaraan dan 25% hingga 70% kos tenaga lebih rendah berbanding kenderaan bahan api fosil konvensional. 

 

"TNB juga menjangkakan pengimbangan tahunan kira-kira 6% hingga 12% dalam perbelanjabah api fosil. Inisiatif ini akan diberi tumpuan awal di Lembah Klang dan Langkawi, sejajar dengan matlamat kelestarian Kuala Lumpur, Selangor, dan Langkawi, serta menyokong visi masing-masing untuk menjadi negeri dan bandar yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.

 

Menekankan pendekatan holistik kepada Peralihan Tenaga, Baharin menyatakan, TNB bukan sahaja berdedikasi untuk mempercepatkan penggunaan EV menjelang 2030 tetapi juga memberi tumpuan kepada peningkatan semula kemahiran untuk industri EV, membina infrastruktur pengecasan, menaja kajian berkaitan EV, dan memupuk kerjasama dalam kalangan pemain sektor EV.

 

Katanya, Hab Latihan Kenderaan Elektrik (EV) TNB, yang ditubuhkan oleh TNB ILSAS, menawarkan peningkatan semula kemahiran untuk industri EV, memfokuskan kepada pengetahuan asas seperti penyimpanan bateri asas dan teknologi EV. Sesi latihannya diperakui oleh badan antarabangsa.

 

Untuk mengukuhkan ekosistem EV yang semakin berkembang di Malaysia, TNB merancang untuk memperluas infrastruktur pengecasan EV kepada lebih 500 stesen pengecasan pada tahun 2025 di seluruh negara, sebagai sokongan kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

"Inisiatif ini bukan sahaja selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tetapi juga menyokong tiga tonggak utama Pelan Peralihan Tenaga TNB: mempercepatkan penyahkarbonan penjanaan, membangunkan grid rentas sempadan yang fleksibel, serta memperkasakan tenaga elektrik rentas sektor dan prosumer. 

 

"TNB menyedari bahawa untuk mencapai kejayaan peralihan bertanggungjawab kepada sistem tenaga mampan dan dinyahkarbonisasi, ia memerlukan kerjasama daripada pelbagai sektor, lantas TNB komited sepenuhnya untuk menyokong pertumbuhan ekosistem EV di Malaysia," menurut kenyataan itu. - DagangNews.com