TNB, NUR Power jalin kerjasama strategik inisiatif tenaga hijau di Kedah | DagangNews Skip to main content

TNB, NUR Power jalin kerjasama strategik inisiatif tenaga hijau di Kedah

Gambar TNB
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan N.U.R Power Sdn. Bhd. (NUR Power) untuk menyediakan penyelesaian tenaga pintar dan Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebagai sumber utama elektrik masa hadapan kepada para pelanggan NUR Power di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah serta lain-lain kawasan berlesen di bawah NUR Power. 

 

Memorandum persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani bagi membolehkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung, solar berskala besar serta penyediaan prasarana pengecas kenderaan elektrik dapat diberikan kepada seluruh pelanggan di kawasan KHTP. 

 

Memandangkan permintaan global untuk tenaga hijau terus berkembang, NUR Power komited untuk melabur dalam mengembangkan tenaga solar bagi meningkatkan bekalan TBB dan menuju ke arah pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menarik pelabur asing dan juga domestik. 

 

Melalui kerjasama ini, TNB memperoleh rakan strategik lain bagi melaksanakan inisiatif TBB bersama dengan NUR Power sebagai pembekal elektrik eksklusif kepada KHTP dan kawasan berlesen lain. Para pelanggan di KHTP dapat menikmati kelebihan harga yang kompetitif untuk solusi solar atas bumbung daripada kerjasama antara anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX dan anak syarikat milik NUR Power, JS Solar. 

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengarah Urusan NUR Power, Ikwan Hafiz Jamaludin di Hotel DoubleTree Hilton, Putrajaya pada 26 Ogos 2022 dengan kehadiran Ketua Solusi, Bahagian Retail TNB, Mohamed Azrin Mohamed Ali, dan Pengerusi NUR Power, Datuk Wira Ir. Mohd Sidek Ahmad sebagai saksi. 

 

Setiausaha Bahagian Kanan (Bekalan Elektrik) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Mareena Mahpudz dan Ketua Pengawai Eksekutif Sustainable Energy Development Authority Malaysia (SEDA), Datuk Hamzah Hussin turut hadir bagi menyaksikan majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak. 

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Megat berkata, kerjasama antara TNB dan NUR Power menandakan satu perkembangan yang amat memberangsangkan kepada negara dan TNB kerana ia sejajar dengan aspirasi TNB, iaitu mempercepatkan peralihan tenaga kepada tenaga hijau. 

 

 

tnb
Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan (duduk, dua kiri) bersama Ikwan Hafiz Jamaludin (duduk, dua kanan) menandatangani MoU dengan saksi dari TNB, Mohamed Azrin Mohamed Ali dan Datuk Wira Ir. Mohd Sidek Ahmad (duduk, paling kanan). Sesi menandatangani MoU ini turut disaksikan Mareena Mahpudz (dua kanan) dan Datuk Hamzah Hussin (dua kiri).

 

 

“TNB berhasrat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan salah satu inisiatif utama untuk mencapai aspirasi ini adalah melalui membina kerjasama utama dan memperkukuh perkongsian yang akan membantu kami memacu agenda Peralihan Tenaga dengan lebih jauh lagi. 

 

"Ini adalah selaras dengan agenda kerajaan berhubung kapasiti TBB dan inisiatif hijau sejajar dengan kami menuju ke arah masa depan yang lebih baik dan cerah untuk rakyat Malaysia,” katanya.

 

Ikwan Hafiz berkata, kerjasama ini akan dapat mempertingkatkan pembangunan TBB bagi pengguna-pengguna tenaga elektrik di KHTP melalui pemindahan kepakaran dan teknologi antara kedua-dua pihak. 

 

“Kerjasama dalam sektor TBB oleh NUR Power dan TNB dapat merealisasikan matlamat 'Peralihan Utiliti TBB' sebagai dua pembekal utiliti tenaga di Semenanjung serta dapat menyokong ikrar iklim dan visi ESG bagi syarikat-syarikat multinasional (MNC) di KHTP dengan menyediakan keperluan dan kelengkapan sumber TBB bagi transformasi KHTP menjadi taman teknologi hijau yang unggul di Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com