TNB peruntuk RM950,000 bantu keluarga B40 di Perlis | DagangNews Skip to main content

TNB peruntuk RM950,000 bantu keluarga B40 di Perlis

.

KUALA LUMPUR 9 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sebanyak RM950,000 dalam usaha membantu 19 keluarga berpendapatan rendah (B40) di Perlis.

 

Peruntukan tersebut diberi menerusi Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat yang melibatkan sumbangan kediaman baharu.

 

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kediaman tersebut dibina melalui inisiatif TNB dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

 

Ujarnya, dua daripada 19 keluarga yang menerima manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) organisasi itu adalah keluarga bukan Islam.

 

"Pada masa sama, penyerahan kediaman baharu kepada 17 keluarga beragama Islam diharapkan memberi kegembiraan kepada mereka menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

 

"Malah saya yakin bantuan ini mengurangkan beban penerima dan keluarga mereka terutama dalam menjalani ibadah puasa nanti," katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat TNB Peringkat Negeri Perlis dan Penyampaian Zakat Perniagaan TNB Perlis 2019, semalam.

 

Majlis berkenaan turut menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang DiPertua MAIPs.

 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang juga Ahli Majlis MAIPs, Azman Mohd. Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd Noor.

 

Pada majlis sama, TNB turut menyerahkan zakat perniagaan TNB Perlis berjumlah RM309,340.11 kepada MAIPs.

 

Tambah Mahdzir, pihaknya berharap pemilikan rumah berkenaan dapat menjadikan penerima lebih gembira dan bahagian apabila memiliki kediaman sendiri dalam usaha TNB menjadikan kehidupan rakyat 'Better dan Brighter'.

 

Ujarnya, TNB sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat terutama susulan pandemik COVID-19 yang banyak memberi kesan kepada rakyat. - DagangNews.com