TNB, PetChem, Public Bank menyaksikan aliran dana tertinggi, analisis CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

TNB, PetChem, Public Bank menyaksikan aliran dana tertinggi, analisis CGS-CIMB

Nilai jualan bersih saham TNB pelabur institusi tempatan bernilai RM82.6 juta.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 5 Julai - CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Public Bank Bhd adalah tiga saham teratas dengan aliran dana tertinggi bagi minggu 27 Jun hingga 1 Julai.

 

"PetChem mencatat belian bersih terbesar untuk pelabur institusi tempatan, tetapi jualan bersih terbesar bagi pelabur institusi asing.

 

"TNB ialah saham belian bersih terbesar untuk pelabur runcit, tetapi jualan bersih terbesar untuk pelabur institusi tempatan.

 

"Public Bank pula belian bersih terbesar untuk pelabur institusi asing, dan jualan bersih kedua terbesar untuk pelabur institusi tempatan," tulis penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang dalam nota.

 

Mengenai PetChem, Ng berkata nilai belian bersih saham PetChem pelabur institusi tempatan berjumlah RM101.1 juta, manakala jualan bersih pelabur institusi asing bagi saham PetChem bernilai RM102.5 juta.

 

Bagi TNB, beliau berkata nilai belian bersih saham TNB pelabur runcit berjumlah RM47.3 juta, manakala nilai jualan bersih saham TNB pelabur institusi tempatan bernilai RM82.6 juta.

 

Mengenai Public Bank, Ng berkata nilai belian bersih saham Public Bank pelabur institusi asing berjumlah RM40.9 juta, manakala jualan bersih pelabur institusi tempatan bagi saham Public Bank bernilai RM45.7 juta.

 

PetChem, TNB dan Public Bank adalah konstituen kepada 30 saham FBM KLCI.

 

Di pasaran yang lebih luas, Ng berkata KLCI menokok 0.9% minggu ke minggu (w-o-w) disebabkan pemburuan murah terpilih.

 

Keuntungan itu mewakili keuntungan mingguan pertama KLCI dalam enam minggu, menurutnya.

 

“Purata nilai dagangan harian untuk minggu itu turun 8% w-o-w kepada RM1.6 bilion, terendah sejak minggu dagangan berakhir 4 Feb 2022. Sektor berprestasi paling teruk minggu lepas ialah teknologi, perindustrian dan penjagaan kesihatan.

 

 

bursa


 

"Di Bursa Malaysia, jualan bersih mingguan pelabur asing meningkat 5.2 kali ganda kepada RM320 juta minggu lepas. Pelabur runcit tempatan kekal sebagai pembeli bersih terbesar untuk minggu kedua.

 

"Pelabur institusi tempatan meningkatkan belian bersih mingguan mereka sebanyak 6.4 kali w-o-w kepada RM91 juta," katanya. - DagangNews.com