TNB Power Generation terbit sukuk wakalah RM1.5 bilion untuk biaya projek Nenggiri | DagangNews Skip to main content

TNB Power Generation terbit sukuk wakalah RM1.5 bilion untuk biaya projek Nenggiri

Sukuk Kelestarian Wakalah RM1.5 bilion itu telah terlebih langgan sebanyak 3.41 kali

KUALA LUMPUR 3 Jun - Subsidiari milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB)  telah menerbitkan Sukuk Kelestarian Wakalah bernilai RM1.5 bilion di bawah program nota jangka sederhana Islam sehingga RM10 bilion dalam nilai nominal.

 

Program yang bertempoh 30 tahun itu didasarkan kepada prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar. 

 

TNB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan sukuk itu diterbitkan dalam tiga peringkat yang merangkumi RM150 juta (bertempoh 10 tahun), RM750 juta (15 tahun) dan RM600 juta (20 tahun). 

 

Kadar agihan berkala bagi setiap tranche, masing-masing adalah 4.70 peratus, 5.05 peratus serta 5.20 peratus setahun.

 

Pada kemuncak pelaksanaan runding harga, Sukuk Kelestarian Wakalah RM1.5 bilion itu telah terlebih langgan sebanyak 3.41 kali, dengan tempahan yang diterima berjumlah RM5.1 bilion daripada lebih 30 akaun.

 

"Hasil daripada penerbitan sukuk ini akan dipakai oleh TPGSB untuk Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri seperti yang dinyatakan dalam Rangka Kerja Sukuk Kelestarian TPGSB," katanya, Bernama melaporkan.

 

Rangka Kerja Sukuk Kelestarian TPGSB telah diberikan penarafan "emas" oleh MARC Ratings Bhd sebagai pengulas luaran bebas.

 

"Inisiatif pembiayaan kelestarian TPGSB ini menunjukkan komitmen syarikat itu dalam menyokong aspirasi TNB bagi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, satu langkah ke arah penyahkarbonan dan tenaga boleh diperbaharui. 

 

"Sebagai anak syarikat milik penuh TNB yang signifikan, TPGSB akan memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi serta komitmen kemampanan TNB yang akan mengurangkan perubahan iklim melalui penggunaan teknologi penjanaan tenaga yang lebih hijau, bersih dan cekap," kata syarikat itu. - DagangNews.com