TNB raikan Hari Kebangsaan menerusi kisah inspirasi rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

TNB raikan Hari Kebangsaan menerusi kisah inspirasi rakyat Malaysia

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menceriakan sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan filem ‘Raikan Malaysia Kita’ yang meraikan tenaga positif yang dipamerkan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran.

 

Filem animasi ‘Raikan Malaysia Kita’ menceritakan kisah empat rakyat Malaysia: Ridzuan Jamal, Ong Yong Xun, Paramesvary Munumsamy dan Nazirah Abd Rahman, dan bagaimana mereka bukan sahaja berusaha untuk mengatasi cabaran ketika pandemik COVID-19, bahkan bersama-sama membantu orang lain.

 

Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma berkata, TNB dipandu oleh Matlamat “Better World Brighter Lives” yang menerapkan tenaga positif dalam apa jua perkara yang dilakukan.

 

''Filem ini bertepatan dengan satu daripada nilai teras kami di TNB iaitu Prihatin kerana ia mengetengahkan bagaimana rakyat Malaysia mengatasi cabaran demi menyinari kehidupan orang lain ketika pandemik ini,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma
Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma

 


Filem ini bermula dengan kisah Ridzuan, seorang bekas jurutera dari Sabah yang mula menjual roti ban berharga RM1 ketika pandemik melanda. Melalui perniagaannya itu, Ridzuan berupaya membuka peluang pekerjaan dan membantu mereka yang kelaparan, terutamanya ketika melalui waktu yang sukar.

 

Seterusnya kisah Yong Xun atau lebih dikenali sebagai Zero Ong yang mencipta aplikasi JomStudy. Tanpa sebarang pengetahuan asas mengenai pengekodan, Zero Ong berjaya menyiapkan aplikasi tersebut yang memuatkan nota-nota subjek SPM dalam masa enam bulan. Aplikasi itu mendapat sambutan yang baik kerana ia amat berguna kepada pelajar-pelajar terutamanya ketika melalui proses pembelajaran norma baharu.

 

Jiwa murni Paramesvary dan anak-anaknya juga wajar dijadikan contoh inspirasi kepada kita semua. Keluarga itu bersepakat memasak dan mengedarkan makanan kepada sesiapa saja yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama. Naluri Paramesvary yang tersentuh melihat begitu ramai anak-anak kecil yang terkesan ketika waktu yang mencabar ini membuatkan beliau terpanggil untuk berkongsi masakannya dengan mereka yang memerlukan.

 

Pengorbanan Mama Pinky atau nama sebenarnya Nazirah juga cukup menyentuh hati kerana beliau sanggup menggalas dua pekerjaan demi menampung kos perubatan dan makanan haiwan jalanan. Menariknya, Mama Pinky sendiri mempunyai 50 ekor kucing yang diperliharanya, namun beliau tidak mengabaikan kucing-kucing jalanan kerana beliau percaya bahawa kita perlu berkongsi rezeki dengan hidupan lain yang memerlukan kasih sayang.

 

“Kisah-kisah ini membuktikan rakyat Malaysia sememangnya berjiwa besar, berazam tinggi dan baik hati. Walaupun berdepan dengan keadaan yang mencabar, mereka tetap menampilkan tenaga positif untuk mengatasi cabaran demi menyinari kehidupan orang lain. Ketika waktu yang mencabar ini, kisah-kisah yang memberikan inspirasi buat rakyat Malaysia ini akan menjadi teladan kepada masyarakat sekeliling,” tambah Shukreen.

 

Filem ‘Raikan Malaysia Kita’ mula ditayangkan pada 24 Ogos di saluran YouTube (www.youtube.com/TENAGAofficial). Ia juga akan disusuli dengan iklan cetak sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

 

Penonton juga boleh berkongsi kisah-kisah rakyat Malaysia yang memberikan inspirasi buat mereka. Menariknya, kisah yang dihantar menggunakan tanda pagar #RaikanMalaysiaKita akan dipilih dan diterbitkan dalam bentuk animasi sempena Hari Malaysia ini. Penonton boleh menonton kisah mereka di akaun Instagram TNB (https://www.instagram.com/tenaga_nasional/) mulai 16 September 2021.  - DagangNews.com