TNB, Sime Darby bekerjasama percepat pembangunan bandar lestari di Malaysia | DagangNews Skip to main content

TNB, Sime Darby bekerjasama percepat pembangunan bandar lestari di Malaysia

Kamal Arifin A Rahman (kiri), dan Datuk Mohd Sohimin Mohd Alayedin bertukar dokumen MoU bagi memperkukuh kerjasama pembangunan lestari antara TNB dan Sime Darby di ibu negara, baru-baru ini. Turut kelihatan, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (tengah), Datuk Seri Baharin Din (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan (tiga, kiri).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sime Darby Property Berhad bergabung tenaga membentuk kerjasama bermakna dengan mempercepatkan projek tenaga mampan dalam kawasan pembangunan hartanah Perbandaran Sime Darby Property. 

 

Dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU), kerjasama itu memahatkan anjakan ketara ke arah tenaga bersih Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmen ke arah masa depan lebih hijau dan lestari.


 
Sebagai penyedia rumusan tenaga lestari terkemuka, TNB menerajui rumusan tenaga mampan dalam pembangunan perbandaran melalui kerjasama secara strategik dengan pemimpin industri seperti Sime Darby.


 
TNB akan menumpukan pelaksanaan pelbagai inisiatif tenaga mampan termasuk pemasangan solar atas bumbung, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian mikrogrid inovatif dalam perbandaran Sime Darby Property dalam tempoh dua tahun ini. 

 

Kerjasama tersebut menterjemahkan dedikasi TNB dalam merintis rumusan tenaga mampan dan komitmen Sime Darby Property untuk memupuk pembangunan yang mementingkan alam sekitar.


 
Usaha itu menyokong objektif tenaga bersih Malaysia, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR). Ia juga menandakan komitmen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengurangkan jejak karbon.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din berkata, kerjasama tersebut merangkumi komitmen bersama untuk memacu peralihan tenaga lestari.

 

"Melalui MoU ini, kami menyasarkan untuk menyumbang secara signifikan kepada objektif tenaga bersih Malaysia selaras dengan visi mencapai 70% kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.


 
MoU yang memperkukuh kerjasama pembangunan lestari itu ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Mohd Sohimin Mohd Alayedin dengan disaksikan oleh Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid dan Baharin. 

 

Ia menandakan pencapaian penting dalam komitmen bersama mereka menuju masa depan rendah karbon. 


 
Ia adalah perluasan kerjasama kedua-dua belah pihak yang dicetuskan bersama melalui rumusan Rumah Hijau Pintar di Elmina Grove di City of Elmina, Shah Alam, Selangor, dengan menekankan kepada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


 
Menghurai lebih lanjut pengukuhan kerjasama itu, Baharin berkata, perkongsian itu adalah bukti komitmen bersama untuk merealisasikan Sifar Bersih 2050 dan melaksanakan amalan mampan dalam operasi dan komuniti mereka. 

 

"Ini mengukuhkan lagi kepimpinan TNB dalam merencanakan peralihan tenaga yang bertanggungjawab dan menyerlahkan dedikasi kami memanfaatkan penyelesaian inovatif untuk masa depan lebih mampan," katanya.


 
Gandingan TNB dan Sime Darby Property memahatkan langkah penting ke arah tenaga bersih di Malaysia dan komitmen mewujudkan lebih banyak bandar mesra alam. 

 

Kedua-dua pihak memimpin laluan masa depan lebih hijau, menjadi contoh pembangunan mampan dan menyokong matlamat Malaysia ke arah persekitaran lebih bersih. - DagangNews.com