TNB terima pengerusi baharu Abdul Razak - veteran 36 tahun syarikat | DagangNews Skip to main content

TNB terima pengerusi baharu Abdul Razak - veteran 36 tahun syarikat

Datuk Abdul Razak Abdul Majid
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Mac - Datuk Abdul Razak Abdul Majid, yang telah berkhidmat dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) selama 36 tahun, dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas baharu kumpulan itu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 27 Mac ini.

 

Abdul Razak, 72, menggantikan bekas ahli parlimen Umno Datuk Seri Hasan Arifin, yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu, setelah berkhidmat selama 15 bulan.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat elektrik negara itu berkata Abdul Razak mempunyai kepentingan langsung sebanyak 26,562 saham dalam TNB.

 

Pada 2004, beliau dilantik sebagai naib presiden bahagian penjanaan TNB, dan kemudiannya sebagai naib presiden kanan bagi hal ehwal korporat kumpulan itu pada 2008.

 

“Abdul Razak telah berkhidmat dengan TNB selama 36 tahun sejak 1973 di mana pencapaian kerjayanya di TNB termasuk tugasan mengenai perancangan, pembinaan dan operasi dalam ketiga-tiga bahagian teras penjanaan, penghantaran dan pengedaran TNB,” kata kumpulan itu.


 

parafrasa

 

 

Sebelum menyertai TNB, beliau telah dipinjamkan ke Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dari 1998 hingga 2001.

 

Abdul Razak ialah ketua pegawai eksekutif di Pejabat Program Malaysia untuk Power Electricity Reform Corp (MyPOWER) dari 2009 hingga 2014, dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020.

 

Beliau juga pernah dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga pada 2014, Ahli Panel Penasihat Bebas di Malaysian Petroleum Resources Corp dan Ahli Jawatankuasa Bertindak bagi penubuhan Pusat Tenaga Nasional. - DagangNews.com