TNB wujudkan laluan lorong hijau sebagai tawaran strategik pasaran pusat data Malaysia | DagangNews Skip to main content

TNB wujudkan laluan lorong hijau sebagai tawaran strategik pasaran pusat data Malaysia

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) diiringi Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (kanan) dan Datuk Baharin Din (tiga, kanan) sempena lawatan eksklusif di bangunan TNB Platinum, Bangsar, Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos -Tenaga Nasional Berhad (TNB) mewujudkan Laluan Lorong Hijau (Geen Lane Pathway), satu laluan eksklusif sebagai tawaran yang menyediakan rumusan cekap dan mesra alam kepada syarikat-syarikat pengendali pusat data di Malaysia. 

 

TNB berkata, inisiatif ini membantu mempercepatkan proses pendaftaran dan kelulusan, sekali gus melancarkan lagi pembangunan serta operasi pusat-pusat data.

 

Katanya, melalui tawaran strategik ini, pusat-pusat data akan mendapat bekalan elektrik tiga kali lebih pantas daripada biasa. Ini menyingkatkan tempoh pelaksanaan daripada 36 hingga 48 bulan kepada hanya 12 bulan. 

 

"Pusat Sehenti (OSC) pula memudahkan proses komunikasi secara langsung oleh pelabur dan perkhidmatan sokongan.

 

"TNB juga menawarkan bantuan penyelenggaraan 24 jam dan pelbagai bentuk rumusan mengikut keperluan setiap pusat data. Kesemua faktor ini dijangka menarik lebih banyak syarikat pusat data untuk mewujudkan operasi mereka di negara ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, inisiatif ini dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar dalam sesi perkongsian bersama komuniti pusat data Malaysia, semalam.

 

Pada majlis itu, TNB memeterai lima kerjasama strategik melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) dengan empat syarikat iaitu Yellowwood Properties Sdn Bhd (Yondr), AirTrunk Malaysia Sdn Bhd (AirTrunk), SIPP Power Sdn Bhd (SIPP) dan GDS IDC Malaysia Sdn Bhd (GDS) di samping satu memorandum persefahaman (MoU) dengan MRANTI Corporation Sdn Bhd.

 

 

tnb
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) bersama Datuk Baharin Din (kiri) pada majlis pelancaran TNB Green Lane Supply & Strategic Offerings for Data Centers di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar pada 8 Ogos 2023.

 

 

Dalam ucapan pelancarannya, Tengku Zafrul menyifatkan kepentingan pusat data sebagai nadi kepada dunia digital, tulang belakang yang mendukung kelancaran sistem kesalinghubungan, memudahkan penyimpanan, pemperosesan dan penghataran maklumat dalam kapasiti besar yang mendayakan gaya hidup moden.

 

Beliau berkata, Malaysia telah membangunkan reputasi kukuh dalam sektor ini di pasaran Asia Tenggara susulan kedudukan geo-strategik negara serta landskap pelaburan yang kondusif dan menarik. 

 

Katanya, pasaran pusat data di Malaysia dijangka meningkat sebanyak AS$2.08 bilion dari tahun 2021 hingga 2026 dengan momentum pertumbuhan pasaran dijana pada kadar CAGR 15.72%. 

 

"Laluan Lorong Hijau TNB ini menyokong matlamat tersebut dan keperluan Pusat Data, yang kewujudannya di Malaysia akan membantu merealisasikan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk menarik pelaburan berkualiti teknologi tinggi, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pertumbuhan untuk PKS dan pekerjaan dengan upah lebih baik kepada rakyat Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din menekankan bahawa TNB benar-benar komited untuk menjadi pembekal tenaga berdaya harap kepada semua projek pusat data selari dengan aspirasi negara membawa industri pusat data ke Malaysia dan menjadi hab pusat data serantau.

 

Katanya, antara perkhidmatan yang disediakan TNB adalah perkhidmatan OSC untuk memenuhi setiap keperluan pusat data ini. 

 

"Kami juga sentiasa mencari ruang dan peluang memperluas kerjasama dengan lebih ramai pengendali pusat data melalui solusi tenaga pintar, yang direka khas oleh anak syarikat milik penuh TNB yang pakar dalam teknologi hijau bagi memenuhi keperluan pelanggan. 

 

"Antaranya, GSPARX menyediakan penyelesaian bumbung solar, Allo Technology mengkhususkan perkhidmatan penyambungan gentian jalur lebar, TNB Engineering Corporation untuk sistem penyejukan kawasan dan TNB Renewables dalam teknologi hijau.

 

"Kerjasama di antara TNB dan pengendali pusat data membawa banyak faedah kepada pelbagai pihak. Penubuhan pusat data ini juga mencipta banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia dan menjana ekonomi industri kecil dan sederhana di kawasan sekitarnya," katanya.

 

Tambah Baharin, lebih utama lagi, kerjasama ini secara langsung meningkatkan permintaan terhadap tenaga boleh baharu (TBB) dalam sektor pusat data, selari matlamat negara mengurangkan pelepasan karbon dan bebas arang batu menjelang 2050.

 

Hal ini turut bertepatan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul rumusan tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa. Melalui agenda peralihan tenaga, TNB menyasarkan pengurangan 35% dalam pelepasan karbon serta penurunan 50% kapasiti penggunaan arang batu menjelang 2035. 

 

Dalam merealisasikan aspirasi ini juga, TNB menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga pada 28 hingga 29 Ogos 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Pelbagai bentuk rumusan inovatif serta kerjasama merentas ektor ekonomi akan dibincang dan ditampilkan sebagai tekad bersama dalam mendepani Peralihan Tenaga dengan berkesan. - DagangNews.com