Tony Fernandes diiktiraf sebagai 'APAC CEO of The Year’ daripada Airline Economics Aviation 100 | DagangNews Skip to main content

Tony Fernandes diiktiraf sebagai 'APAC CEO of The Year’ daripada Airline Economics Aviation 100

Tan Sri Tony Fernandes (kiri) ketika menerima anugerah 'Asia Pacific CEO of The Year’ di Anugerah Aviation 100 Asia Pasifik 2023 Airline Economics di Singapura, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Capital A Berhad mengumumkan bahawa ketua pegawai eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes dinobatkan sebagai ‘Asia Pacific CEO of The Year’ di Anugerah Aviation 100 Asia Pasifik 2023 oleh Airline Economics di Singapura. 

 

Majlis anugerah itu diadakan sempena Persidangan Airline Economics Growth Frontiers Asia Pasifik, dengan sekitar 700 ahli profesional dalam bidang penerbangan hadir ke persidangan tersebut.

 

Proses pengundian terdiri daripada pakar industri, termasuk syarikat penerbangan, pemilik pesawat, bank, firma guaman, dan pemegang kepentingan utama lain, yang mana undian industri tahunan Airline Economics mengiktiraf serta meraikan pemimpin terunggul dalam industri penerbangan. 

 

Undian bagi penganugerahan ‘Aviation 100’ adalah proses menyeluruh dan komprehensif yang meliputi sepanjang tahun, yang terdiri daripada undian yang khusus kepada setiap aspek.

 

Ia dikenali dengan kebolehpercayaannya untuk mengenal pasti tokoh terunggul dalam bidang kewangan, pemajakan, dan undang-undang, bersama dengan eksekutif tertinggi dari syarikat penerbangan utama.

 

Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun menzahirkan penghargaan kepada Tony, atas pencapaian hebat itu kerana ia mencerminkan kerja keras, ketabahan, dan kesetiaan semua Allstars di seluruh Capital A. 

 

Katanya, pengiktirafan itu datang pada masa yang tepat apabila industri penerbangan kini mula membangun dan berkembang selepas pandemik global COVID-19, dan menonjolkan nilai yang dibawa kepada pelanggan sebagai sebuah kumpulan perkhidmatan penerbangan dan pelancongan yang berharga. 

 

"Melangkah ke depan, kami akan terus merealisasikan misi kami dalam memberikan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan di samping terus memberikan sumbangan positif kepada ekonomi dan industri, di peringkat serantau dan seterusnya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Capital A, Pattra Boosarawongse berkata, pihaknya berbangga dengan CEO mereka kerana menerima anugerah penerbangan yang berprestij daripada pihak bank dan pemilik pesawat. 

 

"Daya pandang strategiknya dalam menghadapi cabaran dinamik untuk menyeimbangkan kewangan dalam industri ini telah menjadi asas kejayaan kami, dan kami yakin akan terus melebarkan sayap di atas ketidakstabilan pasaran dengan asas kewangan yang kukuh, di bawah pimpinan dan bimbingannya," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Airline Economics, Philip Tozer-Pennington pula berkata, pengiktirafan Tony  sebagai Aviation 100 Asia Pacific CEO of The Year ini adalah satu pengiktirafan yang layak untuk kepemimpinan luar biasa dan sumbangan beliau kepada industri penerbangan. 

 

Katanya, visinya dan kesetiaannya bukan sahaja telah mengubah AirAsia dan Capital A tetapi juga telah meninggalkan kesan yang positif dalam landskap penerbangan yang lebih luas di rantau Asia Pasifik. - DagangNews.com