Top Builders dinyasenarai pada 4 September ini, selepas rayuan lanjutan penyerahan pelan penyusunan semula ditolak | DagangNews Skip to main content

Top Builders dinyasenarai pada 4 September ini, selepas rayuan lanjutan penyerahan pelan penyusunan semula ditolak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bursa Securities telah menolak rayuan Top Builders Capital Berhad untuk lanjutan masa bagi menyerahkan pelan penyusunan semula menjelang 29 Disember ini kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

 

Kumpulan itu berkata, sekuriti syarikat itu juga akan dinyahsenarai pada 4 September ini.

 

Katanya, berkenaan dengan sekuriti syarikat, yang kini didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd (Bursa Depository), sekuriti itu mungkin kekal didepositkan walaupun sekuriti itu dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Securities.

 

“Ia tidak wajib bagi sekuriti syarikat, yang telah dinyahsenarai, dikeluarkan daripada Bursa Depository.

 

“Sebagai alternatif, pemegang saham syarikat yang berhasrat untuk memegang sekuriti mereka dalam bentuk sijil fizikal boleh mengeluarkan sekuriti ini daripada akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) mereka yang diselenggara dengan Bursa Depository pada bila-bila masa, selepas sekuriti syarikat itu dinyahsenarai daripada senarai rasmi.

 

"Selepas penyahsenaraian itu, syarikat akan terus wujud tetapi sebagai entiti tidak tersenarai. Syarikat masih boleh meneruskan operasi dan perniagaannya, dan meneruskan penstrukturan semula korporatnya, dan pemegang sahamnya masih boleh diberi ganjaran oleh prestasi syarikat itu.

 

"Bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Securities," kata Top Builders dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kaunter itu sebelum ini digantung daripada dagangan pada 8 November 2022. 

 

Syarikat jatuh ke status Nota Amalan 17  (PN17) pada Januari 2022, selepas juruaudit luarnya KPMG PLT menyatakan keraguan terhadap keupayaan syarikat untuk meneruskan usaha berterusan, kerana liabiliti semasanya melebihi aset semasa sebanyak RM21.6 juta. 

 

Pada masa itu, ekuiti syarikat pada asas disatukan adalah kurang daripada 25% daripada modal sahamnya.

 

Dagangan sekuriti syarikat itu berterusan selama tiga hari dari 1 Ogos hingga 3 Ogos, selepas ia menyerahkan semua laporan kewangan tertunggaknya kepada Bursa Malaysia.

 

Bagaimanapun, saham Top Builders digantung sekali lagi, kerana syarikat itu gagal menyerahkan pelan penyusunan semulanya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bursa Securities untuk kelulusan dalam tempoh masa lanjutan 29 Jun tahun ini. - DagangNews.com