Top Glove dijangka laksana semula penyenaraian di Hong Kong di sebalik prestasi lemah Q4 | DagangNews Skip to main content

Top Glove dijangka laksana semula penyenaraian di Hong Kong di sebalik prestasi lemah Q4

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Top Glove Corp Bhd. kini dilihat akan melaksanakan semula langkah penyenaraiannya di Hong Kong selepas isu berkaitan penggunaan buruh paksa sudah berakhir.

 

"Apabila kes ini sudah selesai, kami boleh jangkakan pelan ini dalam masa terdekat dengan mengambil kira tiada isu besar yang timbul," menurut MIDF Research dalam nota kajian hari ini. 

 

Sejak tahun lalu, kumpulan sedang berusaha untuk melaksanakan penyenaraian berganda di pasaran saham Hong Kong tetapi terpaksa menangguhkan tawaran awam permulaan (IPO) susulan isu sekatan terhadap produk keluarannya dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS). 

 

Bagaimanapun, sekatan itu ditarik semula dan AS membenarkan Top Glove mengeksport produk sarung tangannya ke negara tersebut berkuat kuasa 10 September. 

 

Memetik laporan Reuters, Top Glove pada Jumaat berkata, akan memperbaharui permohonan penyenaraiannya di Hong Kong untuk mengumpul modal sebanyak AS$1 bilion meskipun melaporkan tahun kewangan suku keempat yang kurang memberangsangkan. 

 


Baca : Isu buruh paksa selesai, Top Glove boleh eksport semula sarung tangan ke AS

 

 

Untung bersih Top Glove bagi suku keempat berakhir 31 Ogos 2021 merosot sehingga 70.14% suku ke suku kepada RM607.95 juta berbanding RM2.04 bilion bagi suku ketiga.

 

Bagi perbandingan tahun ke tahun, untung bersih juga susut 48.37% daripada RM1.18 bilion pada suku keempat 2020. 

 

Susulan prestasi kewangannya yang lemah, MIDF Research turut menyemak turun unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak 20% dan 12.5%. 

 

"Ini disebabkan harga purata jualan (ASP) yang lebih lemah berbanding jangkaan telah menjejaskan pendapatannya bagi tahun kewangan 2021. 

 

"Secara dasarnya, ASP masih menunjukkan trend penurunan pada masa depan apabila kadar vaksinasi semakin meningkat di seluruh dunia dan persaingan daripada firma China," jelasnya. 

 

Meskipun mengekalkan saranan 'neutral', tetapi firma itu menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM3.23 berbanding RM4.55 sebelum itu. 

 

 

Baca : Sekatan CBP AS antara punca untung bersih Q4 Top Glove susut 48%

 

 

Sementara itu, Kenanga Research yang masih mempersoalkan langkah penyenaraian Top Glove di Hong Kong, menyemak turun TP daripada RM5.40 kepada RM3.60, sebaliknya mengekalkan saranan 'outperform'.

 

"Risiko penurunan kepada penarafan dan TP ini bagaimanapun bergantung kepada ASP yang lebih rendah berbanding jangkaan pada 2022," katanya.  

 

Firma itu juga mengurangkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak 32% dan 21% berdasarkan ASP yang lebih rendah. 

 

"Bagi tahun kewangan 2022, ASP diunjur berkurangan daripada AS$37 kepada AS$32 per 1,000 keping dan mengurangkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada 28% berbanding 34% sebelum ini. 

 

"Untuk tahun kewangan 2023 pula, margin EBITDA dianggarkan menyusut kepada 25% daripada 34% berdasarkan ASP AS$29 per 1,000 keping. Sebagai perbandingan, margin EBITDA sebelum pandemik adalah dalam julat antara 14 hingga 18%," jelasnya. 

 

CGS-CIMB pula menjangkakan Top Glove akan terus merekodkan prestasi kewangan suku ke suku yang lemah berikutan kelemahan ASP disebabkan corak pembelian yang perlahan dan pembekal baharu sarung tangan getah. 

 

Ia mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) kumpulan bagi tahun kewangan 2022, 2023 dan 2024 disebabkan penurunan ASP kepada AS$32, AS$29 dan AS$28 per 1,000 keping berbanding AS$35, AS$29 dan AS$28 sebelum itu. 

 

"Kami juga mengurangkan TP kepada RM3 tetapi mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Top Glove," tambahnya. 

 

Di sebalik prospek pendapatan yang lemah, firma itu bagaimanapun mendapati penilaian semasa Top Glove akan disokong oleh permintaan global sarung tangan getah tidak elastik dan kedudukannya sebagai pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia. 

 

"Selain itu, kumpulan juga mempunyai asas yang kukuh dengan tunai dan sekuriti pelaburan berjumlah RM2 bilion setakat akhir suku keempat 2021," katanya. 

 

Setakat 10.19 pagi ini, saham Top Glove susut 8 sen atau 2.61 kepada RM2.98 dengan 12.3juta saham diniagakan. - DagangNews.com