Top Glove lantik semula Kim Meow selaku Pengarah Bukan Eksekutif, Cheong Guan sebagai Pengarah Urusan | DagangNews Skip to main content

Top Glove lantik semula Kim Meow selaku Pengarah Bukan Eksekutif, Cheong Guan sebagai Pengarah Urusan

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lee Kim Meow (kiri) dilantik semula sebagai pengarah bukan eksekutif baharu; Pengarah Eksekutif kumpulan, Lim Cheong Guan (tengah) dilantik sebagai pengarah urusan manakala Ketua Pegawai Operasi, Ng Yong Lin diberikan tanggungjawab selaku Pengarah Eksekutif Top Glove bermula 1 Ogos 2022.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - Top Glove Corp Berhad mengumumkan bahawa Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lee Kim Meow akan dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 1 Ogos 2022, selepas melengkapkan kontrak bersama syarikat itu pada 31 Julai 2022.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, Pengarah Eksekutif kumpulan, Lim Cheong Guan akan menggantikan Kim Meow bermula 1 Ogos 2022. 

 

Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai mengucapkan terima kasih atas sumbangan Kim Meow atas sumbangannya selama 25 tahun dia berkhidmat bersama kumpulan itu.

 

"Kim Moew memainkan peranan penting dalam memacu banyak pencapaian kami sebagai sebuah syarikat, dan membimbing kami melalui banyak perniagaan.

 

"Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam memulakan sumbangan positifnya selaku Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif selepas ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kim Meow, 63, bersara selepas 25 tahun berkhidmat bersama Top Glove dengan 13 tahun sebagai Pengarah Urusan.

 

Beliau menyertai kumpulan itu pada 1997 dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada 2002 dan dilantik semula sebagai Pengarah Urusan pada 2009 selain bertanggungjawab di Jabatan Pemasaran.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO), Ng Yong Lin akan dilantik selaku Pengarah Eksekutif Top Glove bermula 1 Ogos 2022.

 

Wee Chai turut mengucapkan tahniah kepada Yong Lin yang mempunyai banyak pengalaman dalam pembuatan sarung tangan dan aplikasi teknologi dan inovasi termaju, terus mengubah operasi pembuatan secara positif.

 

"Saya yakin dengan kepemimpinan ini dan teruja untuk bekerjasama dengan mereka bersama Lembaga Pengarah kami bagi memacu Top Glove ke tahap kejayaan yang lebih baik,” - DagangNews.com