Top Glove tangguh penyenaraian Hong Kong, beri impak negatif jangka pendek - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Top Glove tangguh penyenaraian Hong Kong, beri impak negatif jangka pendek - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Mac - Keputusan Top Glove Corp. Bhd. menangguhkan penyenaraiannya di Hong Kong hanya akan memberi impak negatif kepada harga sahamnya dalam jangka masa pendek, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Bagaimanapun, penganalisisnya, Alan Lim Seong Chun percaya, ia akan memberi impak positif dalam tempoh jangka panjang kerana ia dapat menghapuskan ketidakpastian yang menyelubungi tawaran awam permulaan (IPO) yang akan mencairkan pendapatan sesaham (EPS) jangka panjangnya sekitar 10%.

 

"Oleh itu, kami telah mengurangkan andaian asas saham kami disebabkan penangguhan IPO di Hong Kong ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, Reuters melaporkan Top Glove menangguhkan rancangan untuk menjana AS$347 juta menerusi penyenaraian di Hong Kong apabila pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menjejaskan sentimen pelabur dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran.

 

Ia menyaksikan sahamnya susut 6.3% selepas laporan berkenaan. Setakat tahun ini, harga sahamnya sudah merosot sehingga 31%.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Lee Kim Meow berkata, syarikat itu tidak tergesa-gesa dalam langkah penyenaraiannya itu kerana rancangan itu adalah untuk faedah jangka panjang. 

 

Top Glove yang mendapat manfaat daripada permintaan sarung tangan getah pakai buang semasa pandemik COVID-19, mempunyai penyenaraian utama di Kuala Lumpur dan penyenaraian sekunder di Singapura. Ia merancang penyenaraian di Hong Kong untuk meluaskan asas pelaburnya.

 

Susulan itu, AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Top Glove tetapi menyemak semula harga sasarannya lebih rendah kepada RM1.90 berbanding RM1.95 sebelum ini.

 

Firma itu turut mengurangkan unjuran pendapatannya bagi tahun kewangan 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 19%, 12% dan 8% kepada RM532 juta, RM768 juta dan RM968 juta. 

 

Jelas Seong Chun, semakan itu dibuat selepas mengambil kira kos bahan mentah yang lebih tinggi berikutan lonjakan harga minyak mentah akan meningkatkan kos nitril butadiena.

 

"Nitril butadiena adalah bahan mentah yang digunakan untuk membuat sarung tangan getah. Disebabkan persaingan sengit dalam industri sarung tangan getah, kami percaya Top Glove tidak mungkin akan melepaskan kenaikan kos ini kepada pelanggannya," jelasnya.

 

Top Glove dijangka mengumumkan prestasi kewangan suku keduanya hari ini. 

 

Beliau menjangkakan kumpulan akan merekodkan hasil yang lebih lemah pada suku berkenaan disebabkan trend penurunan harga purata jualan (ASP) secara berterusan. 

 

"Bagaimanapun, kedudukan imbangan tunainya masih kekal kukuh dengan kedudukan bersih tunai," katanya.

 

Setakat 10.12 pagi ini, harga sahamnya susut 6 sen atau 3.21% kepada RM1.81 dengan 2.45 juta saham diniagakan. - DagangNews.com