Tourism Selangor perluas misi jualan ke Laos untuk tingkatkan kemasukan pelancong antarabangsa pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Tourism Selangor perluas misi jualan ke Laos untuk tingkatkan kemasukan pelancong antarabangsa pada 2024

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Tourism Selangor dalam usahanya untuk menarik 5.6 juta pelancong menjelang akhir tahun, memperluaskan misi jualan ke Laos sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) yang diadakan di negara tersebut baru-baru ini. 

 

Tourism Selangor memaklumkan, misi jualan selama 5 hari itu menghimpunkan pemain utama industri pelancongan antarabangsa, bertujuan untuk meningkatkan aliran kemasukan pelancong ke negara-negara ASEAN. 

 

Katanya, pihaknya merebut peluang untuk mempamerkan produk pelancongan ikonik, seperti Geopark Gombak Hulu Langat, Jungle School Gombak, Permatang Kuarza Gombak, SplashMania, Discovery Park, Paya Indah Wetlands, Sky Mirror dan FunPark. 

 

"Produk pelancongan yang dibawa kali ini, memfokuskan kepada tarikan ekopelancongan dan taman tema dan telah diperkenalkan kepada lebih 400 pembeli dan penjual antarabangsa," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, sempena ATF di Laos, tiga produk pelancongan di Selangor merangkul anugerah ASEAN Tourism Standard (2024- 2026). 

 

 

tourism

 

 

Katanya, Wyndham Acmar Klang dan Hotel Sunway Resort turut  menerima anugerah ASEAN MICE Venue Standard dalam kategori ruang mesyuarat, manakala Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dianugerahkan dalam kategori tempat pameran.

 

"Sebagai sebahagian daripada pendekatan yang strategik, Tourism Selangor menyasarkan strategi untuk menarik minat negara tertentu untuk pengalaman pelancongan yang lebih bersasar. Indonesia untuk pelancongan perubatan, Brunei untuk tarikan membeli-belah dan Singapura untuk gastronomi dan ekopelancongan. 

 

tourism

 

"Negara-negara ASEAN memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan Selangor, dengan 351,079 pelancong mengunjungi negeri Selangor pada 2022 dan 241,875 pelancong bagi suku tahun pertama dan kedua untuk 2023 dari negara seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja," katanya.

 

Selain itu katanya, Tourism Selangor juga mengadakan sesi perniagaan kepada perniagaan (B2B) dengan kerjasama Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) semasa forum ATF) di Laos. 

 

Katanya, sesi itu melibatkan pemain utama pelancongan dari Indonesia, Thailand dan Filipina serta membuka jalan untuk kerjasama melalui promosi silang sepanjang 2024.

 

tourism

 

"Tourism Selangor menjangkakan lebih banyak acara dan kerjasama promosi silang akan diadakan, bagi mencapai sasaran untuk menarik lebih 7 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Selangor pada 2025. 

 

"Melalui kempen pelancongan antarabangsa 'Splendid Selangor, Take Me Anywhere!', Tourism Selangor menggariskan komitmen negeri untuk memupuk hubungan dua hala dengan negara yang berminat dan mempamerkan tarikan pelancongan yang lebih pelbagai, merangkumi ekopelancongan, taman tema, budaya dan warisan, serta pengalaman membeli-belah," katanya. - DagangNews.com