Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Jan - Toyota Vios dan Hilux menjadi penyumbang utama penjualan UMW Toyota Motor yang mencatatkan jualan sebanyak 72,394 unit pada tahun lalu.
Rekod jualan tersebut memecahkan rekod jualan dua tahun lalu, iaitu sebanyak 22 peratus dengan 59,320 unit terjual.
Vios kekal unggul sebagai model terlaris Toyota dengan menyumbang 31 peratus daripada jualan, manakala Hilux kekal sebagai trak pikap terlaris di Malaysia sejak 2005.
Jumlah jualan bagi Disember lalu menunjukkan pertumbuhan kadar luar biasa sebanyak 0.5 peratus dengan 9,289 unit terjual, berbanding 9,246 unit daripada tempoh sama tahun lepas.
Bulan ke bulan, UMW Toyota Motor berjaya melepasi jumlah jualan iaitu sebanyak 9 peratus dengan 8,487 unit untuk November tahun lalu.
Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran berkata, pihaknya berterima kasih kepada pelanggan setia atas sokongan berterusan mereka terhadap jenama itu.
"Walaupun tahun 2021 agak mencabar tahun bagi kebanyakan sektor, termasuk automotif, di Toyota, pasukan menunjukkan daya tahan dengan berinovasi secara berterusan untuk menawarkan penyelesaian mobiliti terbaik kepada pelanggan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, UMW Toyota Motor akan terus memfokuskan rancangan untuk memacu lebih banyak inovasi ke arah teknologi baharu dan pertumbuhan mampan.
"Permintaan untuk kenderaan mampan semakin meningkat dengan peralihan global ke arah amalan lestari dan bersih. Di peringkat tempatan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberi tumpuan kepada memacu negara kita menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dan mencapai pertumbuhan mampan," katanya.
Menurut kenyataan itu, Toyota berada di landasan yang betul menerajui teknologi hibrid elektrik dengan lebih daripada 18 juta kenderaan dijual setakat ini dan menawarkan 45 kenderaan hibrid elektrik (HEV) berbeza di pasaran.
"Ini termasuk kenderaan hibrid pemasangan tempatan pertama, Toyota Corolla Cross Hybrid yang akan dilancarkan UMW Toyota Motor tidak lama lagi," katanya.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama pula berkata, rakyat Malaysia menyokong teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar, dan ini terbukti apabila tempahan Corolla Cross Hybrid baharu terus meningkat sejak dibuka untuk tempahan Oktober tahun lalu.
"Ini menunjukkan bahawa mobiliti mampan adalah jalan ke hadapan sebagai dunia secara kolektif yang beralih ke arah bahan api bersih dan boleh diperbaharui, inovatif dan kenderaan pintar.
“Pelancaran Corolla Cross Hybrid baharu akan menandakan satu peristiwa penting bagi UMW Toyota Motor yang juga akan membuka jalan kepada pembuatan industro kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia. Ketika Toyota terus berinovasi, kami bercita-cita untuk meletakkan EEV sebagai mobiliti arus perdana dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com