MIRI 17 Dis – Para penggubal dasar dan pemimpin negeri Sarawak hendaklah terus memberi tumpuan kepada kebimbangan rakyat terhadap soal makan, minum dan pekerjaan bagi jangka masa sekarang hingga pertengahan berikutan pandemik COVID-19 terus menjejaskan kehidupan rakyat, kata Pertubuhan Transformasi Dayak atau TRADA hari ini.
Pengasas dan Presiden TRADA, Joseph Janting berkata, sementara memang penting bagi penggubal dasar negeri untuk merancang dan melabur secara strategik di dalam inisiatif-inisiatif yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam jangka panjang, terdapat keperluan mendesak untuk mengurangkan beban dan penderitaan individu dan keluarga yang telah terjejas akibat pandemik.’
“Di bandar kelahiran saya Miri, terdapat banyak keluarga yang tidak dapat menyediakan makanan secukupnya disebabkan kehilangan mata pencarian atau pendapatan mereka terlalu rendah.
‘’Lebih memburukkan keadaan, prasarana asas di rumah atau rumah panjang seperti bumbung dan lampu tidak dapat dibaiki atau ditukar kerana ketiadaan wang,’’ tambah beliau, bersempena hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada esok (18 Disember 2021).
Menurut Joseph, Ahli Dewangan Undangan Negeri Marudi, Datu Dr. Penguang anak Manggil, adalah contoh pemimpin yang baik kerana memberi tumpuan kepada isu-isu kehidupan sebenar rakyat dengan membantu mereka untuk kembali bangkit secepat yang boleh.
“Datu Dr. Penguang telah pro-aktif di dalam menyumbangkan sumber-sumber dan bantuan serta bertungkus-lumus membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan,’’ tambahnya.
Joseph berkata, “Di luar kawasan kami, saya pasti ada pemimpin seperti Datu Dr. Penguang. Apa yang mustahak ialah wakil rakyat hendaklah komited di dalam mengenal pasti dan menyelesaikan isu harian, malah perkara seperti makanan dan bahan bangunan, supaya rakyat boleh pulih segera dan bergerak ke hadapan.’’
“TRADA juga mahu melihat penggubal undang-undang Dewan Undangan Negeri bersama-sama menangani permasalahan kritikal yang menjejaskan kehidupan harian rakyat Sarawak, termasuk kenaikan harga barangan.
‘’Kami percaya kenaikan harga ini akan membawa masalah lebih serius iaitu perkembangan pasaran gelap,’’ ujar beliau.
Menurutnya, “Masalah rokok seludup di Sarawak adalah berat dan merupakan negeri yang tertinggi di negara ini manakala alkohol seludup juga mudah didapati di mana-mana di dalam negeri ini.
‘’TRADA berharap Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sarawak boleh bekerja bersama-sama bagi memastikan barangan asas harian tidak didominasi pasaran gelap,’’ kata Joseph.
TRADA merupakan kumpulan advokasi belia dan komuniti yang memfokus kepada menaik tarif daya saing dan kemahiran segmen belia di Sarawak dan Sabah.
TRADA atau Pertubuhan Transformasi Dayak (Dayak Transformation Association) adalah kumpulan advokasi belia dan komuniti. TRADA bermatlamat untuk melihat belia negara ini dan juga komuniti Dayak di seluruh Malaysia menyemai pengetahuan dan teknologi secara menyeluruh bagi memastikan masa hadapan yang lebih cerah dan lebih inklusif. - DagangNews.com