Trak ELF pertama diserah kepada pengedar sah baharu Isuzu Malaysia | DagangNews Skip to main content

Trak ELF pertama diserah kepada pengedar sah baharu Isuzu Malaysia

Isuzu

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Syarikat pengedar sah baharu Isuzu Malaysia, Truck Venture Sdn. Bhd. berjaya membuat penyerahan rasmi sebuah trak Isuzu ELF Tugas Ringan 6-wheeler pertama kepada syarikat LOM Logistics Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura berkata, penyerahan tersebut juga adalah sebagai penghargaan pihaknya kepada LOM Logistics di atas kepercayaan dan sokongan mereka terhadap jenama Isuzu walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

"Saya yakin bahawa pemerolehan ini mampu mengukuhkan lagi pelan perkembangan perniagaan bagi syarikat LOM Logistics di masa akan datang," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Penyerahan yang berlangsung di bilik pameran Truck Venture Sdn. Bhd. di Petaling Jaya itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Atsunori Murata, wakil syarikat Truck Venture Sdn. Bhd. termasuk Pengarah Konsultan, Loo Siok Yee dan Pengurus Jualan, Loo Siok Hua.

Pengurus LOM Logistics Sdn. Bhd, Lee Sanghaang dan Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura
Lee Sanghaang dan Koji Nakamura

 

LOM Logistic Sdn. Bhd. ialah sebuah syarikat pengangkutan muatan dan logistik yang beroperasi secara khusus dalam bidang pengangkutan air.

Trak ELF Tugas Ringan yang diterima itu merupakan tambahan unit baharu kepada flit kenderaan komersial mereka yang sedia ada dan dijangka akan mengukuhkan lagi operasi ke seluruh negara.

Isuzu ELF Tugas Ringan 6-wheeler itu didatangkan dengan 'Smoother' iaitu transmisi manual automatik (AMT) yang menawarkan pemanduan yang lebih efisyen dan lancar.

Trak tersebut juga menawarkan kos penyelenggaraan yang rendah, penggunaan bahan api yang baik dan tahap keselamatan yang tinggi.

Ciri-ciri itu adalah bagi memastikan kos operasi perniagaan jauh lebih efisyen dalam jangka masa panjang.

Sewaktu penyerahan dibuat, Nakamura turut menghadiahkan replika kunci dan hadiah penghargaan yang merupakan sebuah Trak Miniatur Isuzu kepada Pengurus syarikat LOM Logistics Sdn. Bhd., Lee Sanghaang. - DagangNews.com