Transaksi e-dagang meningkat 30% pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Transaksi e-dagang meningkat 30% pada suku pertama

 

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Pendapatan daripada transaksi e-dagang bagi suku pertama 2021 melonjak 30% tahun ke tahun kepada RM254.6 bilion berbanding RM195.9 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pendapatan daripada e-dagang pada tahun lalu meningkat sebanyak 32.7% kepada RM896.4 bilion berbanding 2019.

 

Katanya, pendapatan e-dagang oleh pertubuhan pada 2019 merekodkan kadar pertumbuhan 22.8% kepada RM675.4 bilion berbanding 2017.

 

"Pendapatan e-dagang daripada segmen pasaran tempatan meningkat 21.7% kepada RM591.8 bilion manakala pasaran antarabangsa naik 31.9 peratus kepada RM83.5 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui perniagaan kepada perniagaan (B2B) meningkat 13% kepada RM449.6 bilion diikuti perniagaan kepada pengguna (B2C) naik 53.3% kepada RM194 bilion.

 

Sementara itu, perniagaan kepada kerajaan (B2G) turut meningkat 55.7% kepada RM31.8 bilion.

 

Mohd. Uzir berkata, perbelanjaan e-dagang pada 2019 turut merekodkan pertumbuhan 14.8% kepada RM301.5 bilion.

 

"Perbelanjaan e-dagang bagi pasaran tempatan meningkat 15.3% kepada RM269.6 bilion manakala perbelanjaan pasaran antarabangsa meningkat 10.8% kepada RM31.9 bilion,” katanya.

 

Sementara itu, perbelanjaan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui B2B meningkat 14.1% kepada RM277.6 bilion diikuti B2C yang melonjak 24.6% kepada RM14.8 bilion dan B2G pula berkembang 22.6% kepada RM9.1 bilion.

 

Seterusnya, penggunaan internet turut merekodkan peningkatan 11.9 mata peratus kepada 85.2%, diikuti komputer, 7.3 mata peratus kepada 86.2% dan web presence, 16.1 mata peratus kepada 53.9%.

 

Sektor maklumat dan komunikasi dan kewangan dan takaful/insurans telah menggunakan sepenuhnya internet dan komputer dalam perniagaan. 

 

Menurut beliau, terdapat 38.1% pertubuhan beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), meningkat kepada 92.4% berbanding PKP pemulihan (PKPP). 

 

Di samping itu juga, 80.6% pertubuhan melaporkan pendapatan e-dagang mereka kekal stabil dan meningkat daripada tempoh PKP sehingga PKPP. - DagangNews.com