Transaksi guna RFID di seluruh lebuh raya Pantai Barat mulai 15 Januari 2021 | DagangNews Skip to main content

Transaksi guna RFID di seluruh lebuh raya Pantai Barat mulai 15 Januari 2021

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis – Bermula 15 Januari 2022, transaksi tol menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) akan dilaksanakan untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuh raya Utara-Selatan.

 

Dengan pelaksanaan ini, seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menyediakan lorong RFID bagi memberi perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan pantas kepada pengguna lebuh raya.

 

‘’Transaksi tol RFID adalah langkah Kementerian Kerja Raya (KKR) ke arah mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia bertepatan dengan keperluan dan kehendak pelanggan lebuh raya serta selari dengan perkembangan teknologi masa kini.

 

‘’Pelaksanaan RFID mulai 15 Januari 2022 ini juga selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System – ITS Blue Print) yang diterajui oleh KKR termasuklah pelaksanaan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (Multi Lane Free Flow - MLFF),’’ kata KKR dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi disediakan pada ketika ini.

 

‘’Namun, kedua-dua kaedah tersebut (kad Touch ‘n Go dan SmartTAG ) akan dihentikan secara berperingkat bagi memberi peluang untuk lebih banyak lorong RFID disediakan di lebuh raya sebelum pelaksanaan MLFF.

 

Dengan RFID, pelanggan berpeluang menikmati perjalanan lebih lancar tanpa henti di lorong RFID dengan kelajuan 30km/j.

 

Selain itu, RFID turut membolehkan pelanggan melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.


 

PLUS

 


RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.

 

Tag RFID juga boleh diperoleh dengan kos yang rendah dan berpatutan.  

 

Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia ingin mengajak pengguna lebuh raya supaya segera beralih kepada sistem pembayaran tol RFID bagi menikmati pengalaman perjalanan yang lebih baik dan mudah seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

 

Pengguna boleh mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go atau ejen pemasaran yang dilantik untuk memasangnya sendiri.

 

Pembelian dan pemasangan tag RFID juga boleh dibuat di 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung Malaysia. Jumlah pusat jualan dan pemasangan ini akan ditambah bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapatkan tag RFID bagi memudahkan lebih ramai pengguna beralih kepada sistem pembayaran RFID.

 

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung pelaksanaan kutipan tol di laluan Juru, Pulau Pinang-Skudai, Johor, orang ramai boleh merujuk kepada laman web PLUS dan portal Touch N Go. – DagangNews.com