KUALA LUMPUR 8 Mac - Para eksekutif pembuatan kini memberi lebih tumpuan kepada transformasi berkembar, pendigitalan pintar dan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang didorong perkembangan pandemik, perubahan iklim dan geopolitik.
Berdasarkan laporan Prospek Pembuatan Global KPMG 2022, risiko rantaian bekalan dilihat sebagai salah satu ancaman terbesar kepada pertumbuhan organisasi.
Lebih daripada dua pertiga (68%) ketua pegawai eksekutif (CEO) menyatakan mereka menyasarkan untuk memastikan rantaian bekalan adalah berdaya tahan sekiranya berlaku gangguan besar pada masa hadapan.
Kaedah terbaik untuk mengurangkan tekanan pada rantaian bekalan adalah dengan memperluaskan pemantauan syarikat mereka dengan lebih mendalam untuk menjangkakan perubahan sebelum ia memberi kesan yang teruk.
Ketua Perunding Teknologi KPMG Malaysia, Alvin Gan berkata, keperluan untuk daya tahan memaksa syarikat untuk menjadi lebih tangkas dan membuat keputusan yang lebih baik dengan lebih pantas, justeru, pendigitalan memainkan peranan yang cukup penting.
"Transformasi digital boleh dilaksanakan dengan pendekatan berperingkat. Pilih kilang perintis atau barisan pengeluaran dan digitalkan sepenuhnya.
"Kemudian pelancaran berskala penuh ke kilang lain atau keseluruhan kilang boleh dilakukan sebaik sahaja manfaatnya terbukti dan direalisasikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan itu turut menyatakan, susulan daripada pandemik dan kewujudan ketegangan geopolitik yang berterusan, CEO syarikat pembuatan mengetahui betapa perlunya untuk melabur dalam teknologi baharu untuk mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, dengan mengelak gangguan perniagaan dan mengambil kesempatan daripadanya.
Pengilang pula perlu menyesuaikan operasi mereka mengikut permintaan pada masa ini, dan mungkin terpaksa 'menutup, memperlengkap semula, membekalkan semula, memulakan semula' dengan notis yang singkat.
Pelaburan bagi digital dan pendigitalan dalam semua bidang berfungsi sesebuah syarikat, jika disepadukan dengan betul, berpotensi untuk meningkatkan ketangkasan dan mempercepatkan inovasi.
Mengenai transformasi ESG, laporan KPMG itu menunjukkan CEO global memberi lebih tumpuan kepada isu-isu sosial berbanding alam sekitar dan tadbir urus.
Di Malaysia, isu buruh paksa telah menjejaskan syarikat tempatan khususnya dalam sektor elektronik, pembuatan sarung tangan getah dan perladangan kelapa sawit.
Ketua Perkhidmatan Nasihat Kemampanan KPMG Malaysia, Phang Oy Cheng berkata, syarikat di Malaysia dijangka lebih proaktif dalam menjalankan perbincangan terbuka dan mengambil tindakan untuk meningkatkan kebajikan buruh.
Menurutnya, Malaysia meletakkan aspirasi untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050 dan Rancangan Malaysia Ke-12 mengetengahkan kredit cukai karbon dan mengenakan cukai kepada syarikat yang membakar bahan api fosil mengikut volum atau berat pelepasan.
"Syarikat perkilangan dengan penggunaan tenaga yang tinggi dijangka terjejas dan harus memanfaatkan amalan mampan untuk mengelakkan atau meminimumkan kos ini," jelasnya.
Pada masa sama, tinjauan KPMG juga mendedahkan lebih separuh (55%) CEO global menyatakan mereka akan melabur antara 1 hingga 5% hasil untuk menjadi lebih mampan. - DagangNews.com