Trend harga di Malaysia makin mahal - inflasi, indeks harga pengeluar naik pada Feb dan Mac - DOSM | DagangNews Skip to main content

Trend harga di Malaysia makin mahal - inflasi, indeks harga pengeluar naik pada Feb dan Mac - DOSM

Inflasi Malaysia dilaporkan naik 1.8% pada Februari dan Mac 2024. -Gambar NAIM Aziz DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 April - Trend harga di Malaysia memperlihatkan peningkatan inflasi 1.8% pada Februari 2024 selepas tiga bulan berturut-turut dilaporkan pada kadar 1.5 peratus.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 4/2024 yang diterbitkan hari ini, inflasi pada Mac 2024 bagaimanapun stabil pada 1.8 peratus.

 

"Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) meningkat 0.3 peratus pada Februari 2024, memulih daripada negatif 0.6 peratus pada Januari 2024.

 

 

"Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan 6.0 peratus dalam sektor Pertanian, perhutanan & perikanan (berbanding 3.2% pada Januari 2024), bersama dengan kenaikan dalam sektor Perlombongan, Bekalan air serta Bekalan elektrik & gas. 

 

"Walau bagaimanapun, sektor Pembuatan terus menurun sebanyak 0.7 peratus (berbanding -0.9% pada Januari 2024). Pada Mac 2024, IHPR meningkat sebanyak 1.6 peratus," kata DOSM hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Pelopor (IP) Malaysia meningkat 2.0 peratus, mencecah 112.7 mata pada Februari 2024 berbanding 110.5 mata pada tahun sebelumnya. 

 

Katanya, pertumbuhan konsisten dalam tempoh tiga bulan ini menggambarkan prospek ekonomi yang positif bagi suku kedua 2024, didorong oleh peningkatan dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (28.0%) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (9.9%). 

 

"Selepas 16 bulan di bawah trend, kadar pertumbuhan IP terlicin kembali melebihi trend 100.0 mata pada Februari 2024, menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada masa hadapan, dirangsang oleh pertumbuhan domestik dan perbelanjaan isi rumah yang berterusan,” jelasnya.

 

Jelas Mohd Uzir, laporan Tinjauan Ekonomi Dunia yang diterbitkan oleh IMF dalam edisi April 2024 meramalkan pertumbuhan ekonomi global yang konsisten sebanyak 3.2 peratus untuk 2024 dan 2025, selari dengan kadar tahun sebelumnya. 

 

Katanya, ekonomi negara maju diunjur mencatatkan pertumbuhan marginal, manakala ekonomi negara pasaran baharu dan membangun dijangka mengalami pertumbuhan lebih perlahan daripada 4.3 peratus pada 2023 kepada 4.2 peratus pada kedua-dua tahun 2024 dan 2025.

 

"Bagi sudut Malaysia, anggaran pertumbuhan KDNK awalan untuk suku pertama 2024 meningkat sebanyak 3.9 peratus, mencatatkan kenaikan daripada 3.0 peratus berbanding yang direkodkan pada suku sebelumnya.

 

"Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh sektor Perkhidmatan, dengan peningkatan yang ketara diperhatikan dalam semua sektor utama," ujarnya. - DagangNews.com