Trend eksport yang kukuh janjikan prospek cerah industri pembuatan E&E  | DagangNews Skip to main content

Trend eksport yang kukuh janjikan prospek cerah industri pembuatan E&E 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - Penunjuk makro yang berdaya tahan bagi pertumbuhan pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat 13.6% tahun ke tahun (YoY), trend eksport yang kukuh ke pasaran Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) ditambah dengan jumlah jualan semikonduktor yang menggalakkan memberikan prospek yang menjanjikan untuk sektor berkenaan. 

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, pihaknya kekal optimistik bahawa trend penyumberan luar akan berterusan dengan gabungan lencongan perdagangan dan norma bekerja dari rumah (WFH) yang akan terus memanfaatkan pemain industri berkenaan.

 

"Namun begitu, kami melihat bahawa kekurangan buruh asing sebagai gangguan jangka pendek untuk pemain pembuatan E&E.

 

"Sekiranya kerajaan mengumumkan untuk membenarkan kemasukan pekerja asing tahun ini, kami berpendapat sektor itu akan dapat mengatasi kekurangan ini," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Berdasarkan data IPI Oktober 2021 Jabatan Statistik Malaysia, indeks pembuatan meningkat kepada 8.0% YoY berbanding September di tengah-tengah pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor berorientasikan eksport dan berorientasikan domestik.

 

Dalam sektor berorientasikan eksport, peningkatan menyeluruh merentas industri dapat dilihat. 

 

Pengeluaran E&E meningkat 13.6% YoY , terutamanya bagi peralatan komputer yang lebih tinggi & peralatan persisian dan pengeluaran elektronik pengguna. 

 

Begitu juga, data perdagangan pada November 2021 kekal dalam mod pengembangan pada 32.4% YoY.

 

Firma itu turut mengulangi mengulangi pendirian OVERWEIGHT terhadap sektor ini. 

 

Katanya, walaupun terdapat beberapa halangan akibat gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan, penarikan sekatan di dalam dan luar negara dijangka meningkatkan lagi keadaan permintaan dan menyokong aktiviti pembuatan di Malaysia. -DagangNews.com