TREVO Malaysia, Allianz General bekerjasama wujudkan TREVO Shield bagi perniagaan perkongsian kenderaan | DagangNews Skip to main content

TREVO Malaysia, Allianz General bekerjasama wujudkan TREVO Shield bagi perniagaan perkongsian kenderaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - TREVO Malaysia dan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad bekerjasama melancarkan TREVO Shield, pelan insurans pertama di Malaysia yang direka khas untuk melindungi pemilik kereta persendirian yang terlibat dalam perkongsian kenderaan rakan setara (P2P) bagi menjana pendapatan tambahan. 

 

Ia merupakan sebuah penyelesaian perlindungan yang tertumpu pada perlindungan teras Allianz General, yang menaja jamin perkongsian kereta P2P khasnya menerusi insurans liabiliti pihak ketiga yang disediakan oleh syarikat penanggung insurans itu.

 

Pengurus Besar TREVO Malaysia, Susan Teoh berkata, terdapat tiga pelan menerusi skim berkenaan iaitu  Shield 60, Shield 65 dan Shield 75 yang menawarkan fleksibiliti kepada hos untuk membuat pilihan berdasarkan peringkat perlindungan yang diperlukan. 

 

Katanya, menerusi TREVO Shield, Hos TREVO menerima perlindungan terhadap Liabiliti Pihak Ketiga jika Tetamu menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada pihak ketiga ketika memandu kereta Hos TREVO. 

 

Pelan perlindungan tersebut turut menyediakan pilihan tambahan termasuk manfaat Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD); liputan terhadap kerosakan pada badan, cat dan bumper kereta milik hos; perlindungan kerugian akibat kebakaran dan kecurian serta bantuan menarik dan pembaikan di tepi jalan, di samping manfaat lain. 

 

Sementara itu, TREVO Shield menyediakan liputan insurans kepada tetamu yang memilih perlindungan Pengecualian Kerosakan Perlanggaran Super (SCDW) yang mengehadkan liabiliti Tetamu kepada 10 peratus bagi kos pembaikan kerosakan kenderaan sekiranya berlaku kemalangan. 

 

“Sejak TREVO dilancarkan pada tahun 2020, kami melihat pertumbuhan ketara dalam jumlah ahli dan senaraian kami yang kini direkodkan melebihi 5,000 kenderaan melibatkan 130 model.

 

"Kini, menerusi tambahan TREVO Shield, kami akan terus menambah baik dan memberikan tumpuan penting terhadap aspek keselamatan dan keyakinan," katanya.

 

allianz
Sean Wang

 

TREVO bersama Allianz General sebelum ini menyediakan perkhidmatan TREVO Guard dengan setiap ahlinya boleh mendaftar dan memperbaharui insurans kenderaan menerusi aplikasi. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, mereka menyediakan penyelesaian perlindungan mengikut keperluan dan jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah-ubahselain mencari kaedah baharu untuk menyampaikan produk yang bersesuaian dengan pelanggan.

 

"Kami amat teruja untuk memulakan kerjasama baharu dengan TREVO Malaysia dan menyampaikan produk inovatif seperti TREVO Shield, yang menyediakan perlindungan bermakna selari dengan keperluan hos dan tetamu selain menawarkan nilai nyata bagi pengalaman perkongsian kereta," katanya. - DagangNews.com