Tricor Axcelasia peroleh 100% ekuiti NGL Tricor Governance | DagangNews Skip to main content

Tricor Axcelasia peroleh 100% ekuiti NGL Tricor Governance

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Syarikat yang menawarkan perisian tadbir urus dan risiko, Tricor Axcelasia Sdn. Bhd. bersetuju untuk mengambil alih 60% baki ekuiti dalam NGL Tricor Governance Sdn. Bhd.

Ini menjadikan jumlah perolehan ekuiti Tricor Axcelasia mencapai 100% di dalam NGL Tricor Governance.

Pengambilalihan itu bertujuan memperluas cabang penasihat perniagaannya di bawah Tricor Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Tricor Malaysia, Yeap Kok Leong berkata, menerusi NGL Tricor Governance sebagai anak syarikat milik sepenuhnya, Tricor Axcelasia akan menjadi pembekal terbesar perkhidmatan audit dalaman pihak luar kepada syarikat tersenarai awam di Malaysia. 

 

Yeap Kok Leong
Yeap Kok Leong

 

“Pelaburan penting ini akan memberi manfaat besar kepada 6,000 klien Tricor di Malaysia, memandangkan langkah ini membolehkan kami untuk membawa perkhidmatan ke pangkalan klien yang lebih luas selain mengembangkan tawaran di Malaysia seterusnya Asia Pasifik,” kata Kok Leong dalam satu kenyataan hari ini. 

NGL Tricor Governance yang bertapak di Kuala Lumpur serta Johor merupakan syarikat sekutu di bawah Tricor.

Syarikat itu menawarkan perkhidmatan sokongan audit dalaman dan pengurusan risiko kepada lebih 40 pelanggan yang tersenarai dalam Bursa Malaysia serta Singapore Stock Exchange. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Rantau Tricor Axcelasia, Ranjit Singh percaya langkah itu dapat mengukuhkan kedudukan dominan firma berkenaan yang seterusnya menyumbang kepada 25% syer pasaran audit dalaman pihak luar di Malaysia.

Senada Singh, Pengarah Urusan NGL Tricor Governance, Chang Ming Chew melihat rakan perniagaan kini dapat menerima manfaat yang luas daripada penyelesaian kos efektif dan segera untuk semua urus tadbir, pengurusan risiko dan keperluan kawalan dalaman mereka. - DagangNews.com