KUALA LUMPUR 24 Jun - Trive Property Group Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM49,000 pada suku ketiga berakhir 30 April 2024 (3QFY24) berbanding kerugian bersih sebanyak RM356,00 bagi suku sama tahun lalu didorong hasil lebih tinggi daripada segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan mencatatkan sedikit peningkatan kepada RM2.78 juta berbanding RM2.27 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan hasil bagi suku semasa adalah didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen RE serta segmen pelaburan hartanah.
"Segmen RE mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM410,000 terutamanya disebabkan kemajuan yang lebih tinggi bagi projek sedia ada.
"Segmen pelaburan hartanah mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM100,000 didorong oleh kadar sewa yang lebih tinggi selepas perjanjian penyewaan diperbaharui dengan penyewa sedia ada," katanya.
Kumpulan itu berkata, momentum positif dalam industri RE terus disokong oleh peningkatan beransur-ansur dalam kecekapan serta penurunan kos panel solar dan ia dijangka menggalakkan penggunaan solar fotovoltaik (PV) yang lebih tinggi sebagai bentuk alternatif penjanaan kuasa.
Katanya, dengan memanfaatkan momentum positif dan potensi pertumbuhan dalam sektor ini, kumpulan itu memanfaatkan secara strategik aktiviti berkaitan RE menumpukan pada pemasangan, ujian dan pentauliahan loji solar.
"Kumpulan itu menyasarkan pengembanga bahagian ini dengan menawarkan harga yang kompetitif, produk dan perkhidmatan yang berkualiti, rangkaian tawaran yang lebih luas, dan menerokai rumusan baharu yang mampan untuk memanfaatkan peralihan berterusan," katanya. - DagangNews.com