TSA Group meterai perjanjian taja jamin dengan AmInvestment bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

TSA Group meterai perjanjian taja jamin dengan AmInvestment bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Chew Kuan Fah (tiga dari kanan) bersama (dari kiri) Ketua Kewangan Korporat Aminvestment Bank, Ho Weng Yew; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Aminvestment Bank, Christopher Ng Kok Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Aminvestment Bank, Tracy Chen Wee Keng; Pengarah Eksekutif TSA Group, Chew Yik Wai dan Pengarah Eksekutif TSA Group, Eric Ng Kim Liang selepas memeterai perjanjian taja jamin hari ini
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov – TSA Group Berhad telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan AmInvestment Bank Berhad untuk menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

TSA Group terlibat terutamanya dalam pengedaran dan pembekalan logam ferus dan bukan-ferus, serta produk perkakasan industri lain, pembuatan paip keluli tahan karat dan produk logam lain, dengan pasaran utamanya di Malaysia dan Singapura.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata IPO tersebut melibatkan penawaran terbitan awam lebih 77.3 juta saham biasa baharu, mewakili 25% dari asas saham kumpulan yang diperbesarkan.

 

Sebanyak 15.465 juta saham akan tersedia untuk permohonan oleh orang awam Malaysia dan 15.465 juta saham untuk pekerja yang layak.

 

Sejumlah 38.663 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan 7.732 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

AmInvestment Bank akan menjamin 30.930 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia dan pekerja yang layak.

 

Hasil dari IPO ini akan digunakan untuk perbelanjaan modal, modal kerja, pembayaran balik pinjaman bank dan pembiayaan penyenaraian.

 

Pengarah Urusan TSA Group, Chew Kuan Fah berkata penyenaraian kumpulan di Pasaran ACE akan meningkatkan keterlihatan dan reputasinya dalam industri, di samping membuka peluang kepada pihak berkepentingan kumpulan untuk terlibat dalam pertumbuhan serta pengembangan berterusan syarikat.

 

“Dengan rekod prestasi yang kukuh dalam perdagangan keluli tahan karat dan produk logam lain selama 30 tahun, serta pengalaman 15 tahun dalam pembuatan paip keluli tahan karat, kami yakin akan dapat memberikan nilai tambah kepada pemegang kepentingan kami melalui fasa pertumbuhan berikutnya,” katanya.

 

Chew berkata pencapaian korporat ini akan memperkuat kewangan kumpulan, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan peluang baharu dan memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.

 

AmInvestment Bank memainkan peranan sebagai penasihat utama, penaja, penjamin, dan ejen penempatan untuk IPO ini.  - DagangNews.com