TSeven Shirley milik T7 Global capai pengeluaran minyak pertama di medan Nong Yao | DagangNews Skip to main content

TSeven Shirley milik T7 Global capai pengeluaran minyak pertama di medan Nong Yao

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Penyedia rumusan tenaga, T7 Global Bhd mengumumkan unit pengeluaran luar pesisir mudah alihnya (MOPU), TSeven Shirley telah mencapai pengeluaran minyak pertamanya bagi medan Nong Yao, di bahagian selatan Teluk Thailand.

 

Medan minyak Nong Yao terletak 75m di bawah air bahagian selatan Teluk Thailand, kira-kira 168km di luar pantai Songkhla.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Kay Zhuin berkata, pencapaian itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam sektor tenaga tetapi juga memastikan aliran pendapatan berulang yang stabil untuk lima tahun akan datang dengan pilihan untuk melanjutkan lagi kontrak.

 

"Kejayaan pengeluaran minyak TSeven Shirley MOPU menandakan kejayaan penting untuk T7 Global. Kami berterima kasih kepada Valeura Energy atas peluang untuk melaksanakan projek ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: T7 Global memperkenalkan T7 SHIRLEY, MOPU terbaru yang bakal beroperasi di Teluk Siam

 

"Ini adalah projek istimewa kepada kami kerana ia menandakan usaha kami ke Thailand," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, projek itu telah disiapkan dalam tempoh 1.3 juta jam bekerja semasa penukaran dan pentauliahan MOPU dengan sifar masa kecederaan hilang.

 

"Dengan dua MOPU kini beroperasi sepenuhnya, kami akan meningkatkan prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan," kataya.

 

Terdahulu, pada Februari 2024, T7 Global menembusi pasaran Thailand dengan kontrak RM400 juta bagi unit MOPU terbaharunya, TSeven Shirley yang akan dipajakkan kepada Valeura Energy Inc, pengendali medan minyak Nong Yao sebagai sokongan kepada pembangunan Nong Yao C.

 

MOPU itu memulakan piagamnya pada 2024 untuk lima tahun akan datang memastikan keterlihatan kewangan jangka panjang bagi kumpulan itu, sama seperti piagam 10 tahun TSeven Elise MOPU di perairan Malaysia. - DagangNews.com