TSH Resources akan guna RM550 juta hasil pelupusan tanah untuk kurangkan hutang RM1.1 bilion | DagangNews Skip to main content

TSH Resources akan guna RM550 juta hasil pelupusan tanah untuk kurangkan hutang RM1.1 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - TSH Resources akan menggunakan 77% atau RM550 juta daripada hasil pelupusan tanah di Kalimantan Utara, Indonesia bagi mengurangkan jumlah hutang kumpulan yang berjumlah RM1.1 bilion.

 

PublicInvest Research berkata, menerusi pelupusan tanah seluas 13,214.9 hektar itu membolehkan TSH Resources meraih pendapatan sebanyak RM711.6 juta dengan setiap hektar tanah bernilai RM53,848.

 

"Menerusi pelupusan tanah itu juga, mereka dijangka meraih keuntungan one-off sebanyak RM400.3 juta yang akan dimasukkan dalam 1QFY23.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'outperform' untuk saham TSH Resources dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.81 berdasarkan kepada 15x jangkaan perolehan sesaham (EPS) FY23," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

TSH Resources melengkapkan proses pelupusan itu menerusi anak syarikatnya iaitu PT Bulungan Citra Agro Persada (BCAP).

 

Selaras dengan cadangan pelupusan itu, BCAP telah memeterai perjanjian induk dengan PT Kawasan Industri Kalimantan Indonesia dan PT Kalimantan Industrial Park Indonesia.

 

Cadangan pelupusan itu merangkumi dua bidang tanah di Kampung Tanah Kuning, meliputi kawasan seluas 3,829.27 hektar dan lima bidang tanah di Kampung Mangkupadi, meliputi kawasan seluas 9,385.63 hektar.

 

Pelupusan itu termasuk sebidang tanah di Desa Tanah Kuning dan Kampung Mangkupadi yang sebelum ini telah diperoleh oleh TSH Resources daripada individu pemilik tanah tetapi masih belum disahkan dan didaftarkan di Badan Pertanahan Nasional Indonesia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, RM45 juta atau 6.3% daripada hasil pelupusan itu akan digunakan untuk penanaman baharu dan penanaman semula kelapa sawit di atas tanah berkeluasan 3,500 hektar di Sumatera dan Kalimantan bermula 2023 hingga 2024. - DagangNews.com