TSR peroleh kontrak RM104 juta bina infrastruktur biasa di perbandaran Kwasa Damansara | DagangNews Skip to main content

TSR peroleh kontrak RM104 juta bina infrastruktur biasa di perbandaran Kwasa Damansara

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - TSR Capital Berhad telah memperoleh kontrak bernilai RM104 juta untuk pembinaan infrastruktur biasa di pembangunan perbandaran Kwasa Damansara yang terletak dekat Sungai Buloh.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya, TSR Bina Sdn Bhd telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Kwasa Land Sdn Bhd.

 

Skop kerja kontrak terbabit melibatkan pelaksanaan dan penyiapan kerja pembersihan dan perobohan tapak, kerja tanah, kerja saliran, kerja jalan, kerja pembetungan, kerja retikulasi air, dan kerja infrastruktur mekanikal dan elektrik.

 

TSR berkata kontrak terbabit adalah untuk tempoh 30 bulan dan dijangka siap pada April 2026.

 

“Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, lembaga pengarah TSR berpendapat bahawa kontrak akan menyumbang secara positif kepada pendapatan bagi tahun kewangan berakhir Jun 2024 hingga Jun 2026 (FY24-26),” tambahnya.

 

Saham TSR ditutup tidak berubah pada 32 sen hari ini, menilai permodalan pasaran kumpulan sebanyak RM55.8 juta. - DagangNews.com