TUDM, Airbus rai rekod 30,000 jam penerbangan helikopter EC725, antara tertinggi di Asia | DagangNews Skip to main content

TUDM, Airbus rai rekod 30,000 jam penerbangan helikopter EC725, antara tertinggi di Asia

TUDM memiliki 12 unit helikopter H225M yang juga dikenali sebagai EC725. Pesawat ini telah berkhidmat semenjak tahun 2012. 
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Mac - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencipta sejarah apabila merekodkan 30,000 jam penerbangan menerusi helikopter H225M (EC725 Caracal).

 

Airbus memaklumkan, pencapaian 30,000 jam penerbangan angkatan helikopter H225M TUDM itu antara tertinggi di Asia.

 

Selain itu, kata Airbus, satu daripada 12 helikopter H225M TUDM mencatat rekod tersendiri apabila menjadi pesawat pertama yang dipasang dengan kotak gear utama dipertingkatkan (EMGB) di luar Eropah.

 

"EMGB akan memberikan pernambahan keteguhan dan mengurangkan beban kerja penyelenggaraan armada H225M," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sempena kejayaan tersebut, Airbus menganjurkan majlis khas bertempat di Pangkalan Udara Labuan baru-baru ini.  

ec
Axel de Pascal menyampaikan anugerah kepada Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan bagi memperingati rekod 30,000 jam penerbangan helikopter EC725 TUDM. 

 

 

Pada majlis itu, Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal menyampaikan anugerah kepada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan sempena memperingati peristiwa penting itu. 

 

Turut hadir adalah Ketua Perwakilan Airbus di Malaysia, Burhanudin Noordin Ali.

 

Juruterbang H225M TUDM yang telah mencapai 2,000, 1,500, 1,000 dan 500 jam penerbangan juga telah diberikan anugerah pencapaian jam penerbangan pada majlis tersebut.

 

 

Sementara itu, Axel de Pascal berkata, Airbus berbangga dengan kecekapan perkhidmatan H225M kepada TUDM sepanjang dekad yang lalu.

 

Katanya, armada tersebut memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam semua misi strategik dan taktikalnya.


 
"Kami sangat berbesar hati untuk bersama tentera udara meraikan capaian penerbangan penting ini yang menekankan kepentingan aset ini kepada operasi TUDM," katanya.   

 

ec1
Armada H225M memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam semua misi strategik dan taktikalnya.

 

TUDM memiliki 12 unit helikopter H225M yang telah berkhidmat semenjak 2012 lagi. 

 

Direka bentuk untuk menangani misi yang paling mencabar, helikopter H225M telah menyertai pelbagai misi latihan dan kemanusiaan, termasuk operasi penyelamatan semasa banjir dan operasi menyelamat nyawa.

 

Helikopter H225M membolehkan pasukan tentera di hantar ke mana sahaja pada bila-bila masa ia diperlukan.

 

Pada masa kini, sejumlah 170 helikopter H225M berada dalam perkhidmatan di seluruh dunia manakala lebih daripada 200 helikopter jenis Super Puma sedang beroperasi di rantau Asia Pasifik.

 

Selain Malaysia, Brazil, Perancis, Indonesia, Mexico, Singapura, Thailand dan Kuwait juga bergantung kepada keupayaan helikopter H225M untuk menyokong dan melaksanakan misi mereka yang paling mencabar. - DagangNews.com