Tuju Setia dapat kontrak bernilai RM257 juta untuk pembangunan perumahan tinggi | DagangNews Skip to main content

Tuju Setia dapat kontrak bernilai RM257 juta untuk pembangunan perumahan tinggi

Projek Jernih Residence adalah kontrak kedua Tuju Setia daripada Sunway Group.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Subsidiari milik penuh Tuju Setia Bhd, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd (PTS) telah mendapat kontrak bernilai RM257 juta untuk projek pembangunan perumahan tinggi, Jernih Residence di Kajang, Selangor daripada Daksina Harta Sdn Bhd.

 

Syarikat perkhidmatan pembinaan itu dalam satu kenyataan berkata PTS akan membina dua blok pangsapuri servis 1,605 unit, tempat letak kereta dan premis runcit serta kemudahan lain.

 

“Kontrak berkenaan akan meningkatkan nilai perolehan kontrak semasa syarikat itu kepada RM1.5 bilion,” katanya.

 

Daksina Harta ialah syarikat usaha sama antara Sunway Bhd (60 peratus) dan MKH Bhd (40 peratus), kedua-duanya merupakan pemaju  yang mantap dan mempunyai reputasi baik.

 

Projek Jernih Residence adalah kontrak kedua Tuju Setia daripada Sunway Group.

 

Pada Disember tahun 2021, PTS telah dilantik sebagai kontraktor utama untuk Sunway d’hill Residences di Kota Damansara yang dibangunkan oleh Sunway PKNS Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama antara Sunway City Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, kumpulan itu berusaha untuk mengekalkan reputasi tersebut sebagai pemaju pilihan.

 

“Malah, dua projek kami yang telah disiapkan dalam tempoh 12 bulan lalu telah diperakui dengan mendapat markah pembinaan berkualiti tinggi melebihi 80 peratus di bawah Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) dan BuildQAS (sistem penilaian pihak ketiga).

 

"Pengiktirafan ini membantu kami menyerlahkan nama syarikat dalam tender kami yang akan datang," katanya. - DagangNews.com