PUTRAJAYA 23 Ogos - Mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disedia berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara tumpuan utama adalah untuk memastikan pemulihan pasca COVID-19 turut mewujud peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.
Di samping itu kata beliau, dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambahbaik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.
Menurut beliau, kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan.
"Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanp a mengira komuniti atau tempat tinggal," kata beliau semasa menyempurnakan majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata beliau difahamkan sebanyak lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima daripada 242 agensi termasuk cadangan mengenai percukaian.
"Isu dan cabaran yang dibangkitkan serta kaedah penyelesaian yang dicadangkan untuk menanganinya akan diperhalusi dan diteliti sewajarnya," kata beliau.
Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada barisan pembentang iaitu Dr Apurva Sanghi, Dato' Dr. Ir. Andy Seo Kian Haw, Dato' Hazimah Zainuddin, Prof Datuk Dr Denison Jayasooria dan Dato' Shahira Ahmed Bazari yang berkongsi pendapat dan pandangan mengenai topik yang sangat relevan dalam perkembangan ekonomi Malaysia pada masa kini.
"Saya difahamkan beberapa isu dan cadangan telah diutarakan seperti pemberian subsidi dan perlindungan sosial; kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan; dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan.
"Terdapat juga cadangan untuk memperkukuh kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (menjelang 2030 di
peringkat nasional)," kata Perdana Menteri.
Beliau berkata, jalinan kerjasama ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosioekonomi Keluarga Malaysia.
"Cadangan cadangan tersebut selari dengan bidang fokus bajet dan akan diperincikan untuk dirangka langkah Bajet 2023 yang sesuai," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com