Tun Mahathir mungkin cuai, khilaf punca Malaysia terlepas peluang failkan permohonan semakan keputusan ICJ pada 2008 | DagangNews Skip to main content

Tun Mahathir mungkin cuai, khilaf punca Malaysia terlepas peluang failkan permohonan semakan keputusan ICJ pada 2008

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 13 Okt - Dua pasukan petugas khas menyiasat dakwaan dalam buku Tommy Thomas mendapati terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan bekas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

 

Pasukan Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan turut mendapati Malaysia terlepas peluang bagi meminta tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018.

 

Dapatan itu dibentangkan oleh pasukan khas kepada Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

 

"Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh pasukan tersebut iaitu meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice- ICJ) berkaitan isu ini.

 

"Dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan kedaulatan negara," kata Perdana Menteri dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pasukan petugas berkenaan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Laporan Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September 2022 dan 7 Oktober 2022.

 

Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan kedua-dua Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan/mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara, serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti bagi melaksanakan tugasan sebagaimana terma rujukan ditetapkan.

 

Menurut Perdana Menteri, susulan pembentangan Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku “My Story: Justice in The Wilderness” tulisan Tommy Thomas, Kerajaan telah bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan tersebut kepada umum.

 

"Syor-syor hala tuju Kerajaan dan penambahbaikan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas melalui kedua-dua laporan ini adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian serta pemerhatian ahli Pasukan Petugas Khas," kata Perdana Menteri.

 

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen Kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. - DagangNews.com