Tuntutan mahkamah RM95.43 juta tambah 'tekanan' AirAsia X | DagangNews Skip to main content

Tuntutan mahkamah RM95.43 juta tambah 'tekanan' AirAsia X

AirAsia X

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Tuntutan mahkamah berjumlah RM95.43 juta daripada BOC Aviation terhadap AirAsia X Berhad (AirAsia X) dilihat menambahkan lagi tekanan kepada syarikat berkenaan susulan kerugian yang dicatat akibat COVID-19.

MIDF Research berkata, keadaan tersebut juga turut meningkatkan risiko AirAsia X untuk memulihkan pengoperasian kumpulan dengan selamat.

"AirAsia X berdepan tuntutan mahkamah berjumlah AS$22.975 juta iaitu RM95.43 juta. 

"Pada pandangan kami, kes ini akan menambah tekanan kepada AirAsia X memandangkan syarikat tersebut masih mengalami kerugian akibat COVID-19," kata MIDF Research.

AirAsia X dalam pengumumannya pada Jumaat lalu mendedahkan kumpulannya menghadapi tuntutan mahkamah bernilai RM95.43 juta daripada syarikat penerbangan BOC Aviation di United Kingdom (UK).

Tuntutan tersebut dibuat dengan dakwaan AirAsia X melanggar kontrak berkaitan dengan penyewaan empat pesawat dari syarikat BOC Aviation.

BOS Aviation yang terkenal sebagai syarikat penyewaan penerbangan mengeluarkan tuntutan tersebut kepada anak syarikat AirAsia X iaitu Leasing Two.

Perbicaraan dijalankan dengan dakwaan Air Asia X Leasing Two melanggar kontrak perjanjian sewa pada 20 Disember 2018.

Tambah MIDF Research, berdasarkan keputusan pada suku kedua 2020, baki tunai kumpulan AirAsia X berjumlah RM252.03 juta dengan jumlah perbelanjaan operasi (OPEX) sekitar RM220.0 juta.

MIDF Research turut berpendapat bahawa tuntutan mahkamah tersebut akan meningkatkan lagi jumlah kerugian bersih AirAsia X sebanyak 8% atau lebih bagi tahun kewangan 2021.

"Kami percaya AirAsia X tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah.

"Oleh itu kami kekalkan harga sasaran sesaham syarikat berkenaan pada RM0.05," tambahnya. - DagangNews.com