TurboWeb penuhi keperluan peralihan digital industri penjualan kereta | DagangNews Skip to main content

TurboWeb penuhi keperluan peralihan digital industri penjualan kereta

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 9 Sept. - Sudah tiba masanya industri penjualan kereta baharu dan terpakai beralih ke platform digital dalam merancakkan lagi pemasaran mereka. 

Ketua Pegawai Eksekutif Auto Craver Tradings Sdn. Bhd., Adham Fayumi Wan Saffiey berkata, terdapat lebih 4,000 pemain industri kereta terpakai di seluruh negara dan sebilangan besar daripadanya masih menggunakan cara konvensional.

“Peralihan digital sepatutnya menjadi perkara utama bagi mereka terutamanya ketika waktu mencabar ini akibat penularan COVID-19.

 

Adham Fayumi Wan Saffiey
Adham Fayumi Wan Saffiey

 

“Kami menggalakkan penjual kereta sama ada mereka menjual kereta baharu atau terpakai untuk melengkapkan perniagaan dan pemasaran dengan peralihan digital bagi memperkukuh kewujudan dan pertumbuhan mereka dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi membantu syarikat penjual kereta beralih kepada digital, Auto Craver sebagai syarikat penyelesaian teknologi pengurusan penjualan kereta memperkenalkan sebuah platform yang membenarkan pemain industri berkenaan mencipta laman web sendiri bagi meningkatkan pemasaran mereka. 

Platform yang dikenali sebagai TurboWeb itu menawarkan pakej perkhidmatan menyeluruh termasuk butiran inventori kereta, pengurusan senarai serta perkhidmatan web awan.

Pakej itu boleh dilanggan pada harga RM3,999 setahun.

Adham Fayumi berkata, TurboWeb memudahkan syarikat jual kereta untuk mengukuhkan jenama mereka dalam talian dengan mempunyai galeri di laman web yang dibangunkan sendiri. 

“Mereka boleh menggunakan media sosial atau platform pihak ketiga lain dengan hanya memautkan ke laman web.

“Ini seterusnya membolehkan mereka menguruskan jenama lebih baik, mengembangkan pangkalan pelanggan dan meningkatkan jualan secara langsung ke perniagaan mereka,” tambah beliau.

TurboWeb dibangunkan dengan integrasi media sosial serta kemudahan mesej untuk penjual kereta melaksanakan pemasaran digital yang lebih pintar. 

Dalam pada itu, platform itu juga membantu untuk menguruskan jualan kereta dengan lebih berkesan di laman web.

Sebagai contoh, apabila jualan kereta baharu diwujudkan dalam pangkalan data, ia dengan segera akan terpapar di laman web.

Dalam masa sama, kereta yang telah terjual akan ditanda sekali gus penerbitan paparan jualan kereta itu ditarik semula daripada laman web. 

 Pakej perkhidmatan yang ditawarkan itu juga merangkumi yuran penyelenggaraan percuma. - DagangNews.com