Turkiye, Korea Selatan bersaing rebut peluang menangi kontrak LMS Batch 2 TLDM  | DagangNews Skip to main content

Turkiye, Korea Selatan bersaing rebut peluang menangi kontrak LMS Batch 2 TLDM 

Korvet kelas Ada yang dikemukakan Turkiye sebagai calon LMS Batch 2 TLDM.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 9 Mac - Rancangan bagi perolehan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 memasuki fasa seterusnya apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan ke Turkiye bagi mengadakan rundingan dengan pihak kerajaan negara itu.

 

Kehadiran beliau di sana juga atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan rakan sejawatan dan juga agensi pertahanan negara berkenaan bagi membuka tawaran.

 

Sepertimana ditegaskan kerajaan sebelum ini, perolehan LMS Batch 2 ini akan dibuat melalui urusan kerajaan dengan kerajaan (Government-to-Government).

 

Kementerian Pertahanan bakal memperuntukkan sejumlah RM2.5 bilion untuk perolehan tiga buah kapal LMS ini daripada lapan buah kesemuanya.

 

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan lapan buah kapal LMS sebagai tambahan kepada empat buah kapal sedia ada yang mana kos jangkaan projek LMS Batch 2 ini sebanyak RM6.6 bilion.

 

Sama ada firma dari Turkiye menjadi pilihan atau tidak, soal ini hanya akan dimuktamadkan setelah pertimbangan diberi berasaskan tawaran. 

 

Firma perkapalan Turki, STM (Savunma Teknolojileri Mühendislik ve Ticaret A.Ş) pada tahun lalu telah mengemukakan reka bentuk kapal LMS untuk ditawarkan kepada TLDM.

 

 

tldm
Frigat antikapal selam kelas Daegu buatan DSME merupakan antara kapal perang baharu Korea Selatan.

 

 

STM merupakan antara pemain utama dalam industri pertahanan Turkiye dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam pembinaan kapal dan industri berat.

 

Dalam tawaran tersebut, STM mengemukakan reka bentuk korvet kelas Ada sepanjang 99 meter iaitu dalam lingkungan saiz yang diinginkan TLDM.

 

Ia merupakan korvet antikapal selam yang dibangunkan khusus untuk Tentera Laut Turkiye yang mana empat buah telah dioperasikan.

 

Dengan berat kira-kira 2,400 tan, korvet kelas ini kelihatan sesuai untuk beroperasi lama di laut terbuka seperti Laut China Selatan kerana bersaiz besar berbanding korvet dengan panjang sekitar 70 meter atau bersaiz kompak.

 

 

tldm
KD Gagah Samudera (271) dan KD Teguh Samudera (272) dibina secara usaha sama antara DSME dengan syarikat tempatan.

 

 

Turkiye sebelum ini turut bersaing untuk memenangi kontrak membina kapal perang tentera laut Filipina tetapi tidak berjaya apabila Korea Selatan menjadi pilihan.

 

Berbanding pemain lain dalam industri maritim, Turkiye masih baharu manakala kapal-kapal yang dibina pula berukuran antara 100 meter panjang.

 

Sehingga kini, Turkiye telah mengeksport kapal ke Pakistan, Ukraine dan Turkmenistan.

 

Atas sebab itu, ia dilihat bersungguh-sungguh untuk terlibat dalam projek LMS Batch 2 TLDM kerana ini dapat melonjakkan lagi jenama industri pertahanan Turkiye.

 

 

tldm
KD Terengganu merupakan satu daripada enam kapal peronda kelas Kedah yang menjadi tunjang TLDM.

 

 

Pasaran Malaysia penting selain membuka peluang Turkiye memandangkan ada projek berpotensi lain misalnya dengan Maritim Malaysia (APMM).

 

Dalam jangka panjang, APMM juga memerlukan banyak kapal-kapal peronda baharu untuk menggantikan aset-aset usang. 

 

Kejayaan memenangi kontrak perolehan pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA) jenis FA-50 pula memberi suntikan pada industri pertahanan Korea Selatan untuk mengintai peluang seterusnya.

 

Berbanding Turkiye, industri perkapalan negara kimchi ini lebih maju dan lebih besar, misalnya Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co Ltd (DSME).

 

Sembilan tahun lalu, DSME mengumumkan bahawa ia telah menarik minat TLDM untuk membina enam buah kapal korvet permukaan peluru berpandu (MSC). 

 

Model MSC ini dipasang dengan meriam utama Oto Melara 76mm, peluru berpandu antikapal jenis Kongsberg NSM, 2 unit meriam 30mm MSI dan beberapa sistem penderia.

 

Ini merupakan konsep kapal yang diketengahkan DSME dan mengikut perancangan jika dipersetujui kerjasama akan dimeterai dengan firma perkapalan di Malaysia bagi memulakan pembinaan pada 2018.

 

Rancangan untuk memiliki kapal jenis ini dikemukakan oleh TLDM dalam belanjawan bagi Rancangan Malaysia Ke-11 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.9 bilion.

 

Selain enam kapal korvet, turut diperlukan TLDM ialah helikopter bagi operasi antikapal selam, bot-bot baharu dan penggantian sistem peluru berpandu.

 

Menggunakan kapal buatan Korea Selatan juga bukan asing bagi TLDM. Kapal sokongan logistik KD Mahawangsa misalnya adalah buatan negara itu yang dibina pada tahun 1982 dan masih gagah belayar.

 

Dua kapal latihan TLDM, KD Gagah Samudera dan KD Teguh Samudera dibina secara usaha sama antara DSME dengan syarikat tempatan pada 2013 dan 2014.

 

Walau pun sebuah kapal latihan, reka bentuk kapal sepanjang 79 meter ini menyamai sebuah kapal perang sebenar dengan ciri-ciri moden.

 

DSME merupakan antara gergasi industri perkapalan di dunia dan salah satu daripada tiga pembina kapal terbesar dari Korea Selatan bersama-sama Samsung dan Hyundai.

 

Apa yang pasti, kelulusan kerajaan untuk menyegerakan perolehan kapal LMS Batch 2 ini telah meletakkan negara dalam radar persaingan antara firma-firma perkapalan dunia. - DagangNews.com