TVET berpotensi jadi pemacu utama ekonomi Malaysia tingkatkan pendapatan Bumiputera – Tan Teng Boo | DagangNews Skip to main content

TVET berpotensi jadi pemacu utama ekonomi Malaysia tingkatkan pendapatan Bumiputera – Tan Teng Boo

Tan Teng Boo menyampaikan ucapatama beliau pada Hari Pelabur 2023 yang diadakan pada pada 5 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - Ketua Pegawai Eksekutif Capital Dynamics dan Pegawai Lantikan Khas icapital.biz Berhad, Tan Teng Boo percaya bahawa pendidikan teknik dan vokasional (TVET) akan menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia, terutamanya dalam meningkatkan pendapatan bagi Bumiputera.

 

Di bawah Belanjawan 2024, katanya, terdapat peruntukan sebanyak RM6.8 bilion, di mana RM100 juta lagi akan diperuntukkan untuk memudahkan pensijilan profesional graduan TVET dalam industri yang diiktiraf.

 

Seperti mana akauntan dan doktor dikawal oleh badan profesional untuk meningkatkan standard dan memberi mereka kebertanggungjawapan, Tan berpendapat bahawa perkara sama juga harus dilakukan kepada tukang paip, juruelektrik dan pekerjaan teknikal lain.

 

“Saya merasakan bahawa TVET merupakan sasaran mudah capai yang boleh mengubah ekonomi Malaysia dan membebaskan diri daripada jerat pendapatan sederhana.

 

 

Tan Teng Boo
Tan Teng Boo

 

 

“Lebih penting lagi, ia akan meningkatkan pendapatan dan masa depan lebih mampan untuk Bumiputera kita,” kata Tan dalam ucapatama beliau pada Hari Pelabur 2023.

 

Tan juga optimis kini tiba masanya untuk melabur di Malaysia memandangkan pengaruh politik mantan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad semakin berkurangan.

 

“Beliau banyak campur tangan dalam politik Malaysia sejak zaman PM pertama Tunku Abdul Rahman sehinggalah kepada PM keenam Datuk Seri Mohammad Najib Razak.

 

“Buat pertama kali dalam tempoh kira-kira 50 tahun, kita akan mempunyai kerajaan yang mampu melaksanakan dasar sosial dan ekonomi yang mantap tanpa campur tangan beliau,” katanya.

 

Dalam sesi berasingan, Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Bhd, Dr Kenneth Pereira menyatakan bahawa kecekapan keuntungan penggiat industri minyak dan gas seluruh dunia kini berada pada tahap tertinggi.

 

 

Dr Kenneth Pereira
Dr Kenneth Pereira

 

 

Dengan pergolakan dan ketidakstabilan di Ukraine dan Timur Tengah, Kenneth berkata kerajaan mula menyedari kepentingan keterjaminan tenaga.

 

"Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa apabila sesebuah negara mempunyai sumber tenaga mampan, jangka hayat penduduk menjadi lebih panjang, ekonomi akan menjadi lebih baik, dan rakyat semakin kaya secara umumnya. Minyak dan gas akan tetap penting untuk masa kini, kerana masih belum ada alternatif mampan tersedia," kata Kenneth.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Unisem (M) Bhd, Kevin Khoo menambah bahawa 2024 akan menjadi tahun pemulihan bagi sektor semikonduktor di Malaysia.

 

“Sektor semikonduktor tetap menjadi salah satu industri terpenting di Malaysia. Pada 2022, sektor ini menggaji 232,722 pekerja atau 10% daripada keseluruhan pekerjaan dalam sektor pembuatan. Malaysia kini menyumbang sekitar 7% hingga 10% daripada pengeluaran cip global,” katanya.

 

Bertemakan ‘Mengapa Sekarang Masa Tepat Melabur di Malaysia', acara dianjurkan oleh Capital Dynamics dan icapital.biz Berhad pada 5 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi mendidik orang awam berhubung manfaat pelaburan yang baik.  - DagangNews.com