TWL Holdings, LJ Development batal perjanjian bangunkan projek di Klang selepas enam tahun | DagangNews Skip to main content

TWL Holdings, LJ Development batal perjanjian bangunkan projek di Klang selepas enam tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Selepas enam tahun, pemaju hartanah, TWL Holdings Berhad memutuskan untuk membatalkan rancangannya membangunkan kediaman dan/atau pembangunan komersial di Klang, Selangor, bersama LJ Development (KL) Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TWL berkata, anak syarikat milik penuhnya iaitu Kejuruteraan TWL Sdn Bhd dan LJ Development bersetuju untuk menamatkan memorandum persefahaman yang dimeterai mereka pada Jun 2017.

 

Menerusi cadangan usaha sama itu, TWL akan membangun dan membina unit kediaman dan/atau komersil dalam projek itu, yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) minimum RM80 juta. 

 

LJ Development berhak menerima daripada TWL beberapa unit dengan jumlah nilai bersamaan 30% daripada GDV.

 

Pengarah LJ Development ialah Tan Li Li, adik kepada pengerusi eksekutif TWL, Datuk Tan Wei Lian dan timbalan pengerusi dan pengarah urusannya Tan Lee Chin, dan Joanna Yong Hui Fun, yang merupakan kakak ipar kepada Wei Lian dan Lee Chin.

 

Terdahulu, TWL mengumumkan bahawa mereka telah memeterai perjanjian pada 29 Jun untuk memperoleh dua tanah di Klang, seluas 3.67 hektar, daripada Credence Property Management Sdn Bhd dengan harga RM30.3 juta.

 

TWL berkata, mereka berhasrat untuk melaksanakan cadangan pengambilalihan itu dengan tujuan untuk membangunkan tanah itu menjadi projek kediaman yang terdiri daripada 1,000 unit pangsapuri mampu milik, yang mempunyai anggaran GDV RM330 juta dan kos pembangunan kasar RM220 juta.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku keempat 2023. - DagangNews.com