U Mobile bekerjasama dengan Time kukuhkan strategi jalur lebar untuk kediaman | DagangNews Skip to main content

U Mobile bekerjasama dengan Time kukuhkan strategi jalur lebar untuk kediaman

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Nov - U Mobile menjalinkan kerjasama dengan TIME dotCom (Time) sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan strategi jalur lebar untuk kediaman bagi jangka panjang.

 

Syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu akan membolehkannya meningkatkan capaian isi rumah di Malaysia lebih tujuh kali ganda, terutamanya di kawasan kediaman bertingkat di bandar-bandar utama.

 

Ia juga membolehkan lebih ramai individu menikmati pelan jalur lebar gentian rumah ultra tanpa had berkelajuan tinggi U Mobile yang menampilkan kelajuan sambungan sehingga 1Gbps.

 

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, pihaknya berharap untuk mempunyai daya tarikan yang sama dengan pelan jalur lebar gentian berkelajuan tinggi.

 

"Perkongsian terbaharu kami dengan Time adalah satu pengesahan kepada komitmen kami kerana kami akan memperluaskan jangkauan perkhidmatan jalur lebar gentian berkelajuan tinggi kami secara eksponen," katanya

 

Samentara itu, Pengarah Eksekutif Time, Lee Guan Hong berkata, akses kepada sambungan berkelajuan gig pada rangkaian Time telah dibuka kepada penyedia perkhidmatan internet pada masa sekarang.

 

“Kami gembira dapat memudahkan penyediaan internet yang pantas dan konsisten kepada pelanggan U Mobile.

 

"Kami akan terus menambah baik infrastruktur kami sambil mengembangkan liputan kami di seluruh Malaysia," katanya.

 

Perkongsian U Mobile dengan Time hadir selepas perkongsiannya dengan Allo Technology, anak syarikat Tenaga Nasional, yang berlangsung tahun lepas. - DagangNews.com