U Mobile rangkul Anugerah Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih Terbaik Malaysia 2020 | DagangNews Skip to main content

U Mobile rangkul Anugerah Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih Terbaik Malaysia 2020

U Mobile

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos - U Mobile berjaya merangkul Anugerah Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih Terbaik Malaysia dalam majlis Anugerah Amalan Terbaik Frost and Sullivan Asia Pasifik 2020. 

Kejayaan itu adalah pencapaian kali ketiga syarikat telco berkenaan selepas memenangai anugerah sama pada tahun 2017 dan 2019.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Heang Tuck, kejayaan tersebut adalah bukti komitmen U Mobile untuk terus menginovasi produknya dan mengembangkan perniagaan bagi memenuhi keperluan pelanggan di pasaran perkhidmatan telekomunikasi.

"Kami gembira dengan penghargaan sebagai Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih Terbaik Malaysia untuk kali ketiga ini.

"Walaupun kami adalah telco termuda, namun usaha untuk berinovasi dan melabur dalam rangkaian telah membuahkan hasil," jelasnya dalam satu kenyataan.

Wong Heang Tuck. Foto oleh The Malaysian Reserve
Wong Heang Tuck. Gambar oleh The Malaysian Reserve

 

U Mobile turut diiktiraf dalam lima kategori di bawah Pengalaman Pelanggan yang Cemerlang untuk Industri Telekomunikasi 2020 iaitu Pengalaman Keseluruhan, Pengalaman Mudah Alih, Pengalaman Dalam Talian, Pengalaman Pusat Perhubungan dan Pengedar.

Tambah beliau lagi, pihaknya bekerja keras untuk tampil setanding dengan telco lain yang telah lama bertapak.

"Sudah tentu, anugerah ini tidak mungkin tercapai sekiranya bukan disebabkan oleh sokongan pelanggan dan pihak berkepentingan kami serta seluruh keluarga U Mobile," tambahnya lagi.

Sementara itu, Penyelidik Bersekutu (Amalan ICT) Frost & Sullivan, Sofea Zukarnain memberitahu, pihaknya mengiktiraf kemenangan U Mobile kerana strategi pengambilalihan dan pengekalan pelanggan telco berdasarkan analisisnya terhadap pasaran penyedia perkhidmatan mudah Malaysia.

"Perkara tersebut juga turut disokong oleh rangkaian produk dan penawaran perkhidmatan yang kukuh," jelas Sofea. - DagangNews.com