U Mobile semakin menyaingi 3 telco gergasi - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

U Mobile semakin menyaingi 3 telco gergasi - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - U Mobile Sdn Bhd dijangka meneruskan usahanya untuk meraih skala hasil yang lebih besar dalam tempoh beberapa tahun, seterusnya memberi persaingan yang sengit kepada tiga syarikat telekomunikasi (telco) gergasi lain seperti Maxis, Celcom dan Digi (Big 3). 

 

Menurut firma penyelidikan, CGS-CIMB Research, penguasaan pasaran hasil (RMS) U Mobile menokok 1.2 mata peratusan kepada 14.8% pada tahun kewangan 2020 (FY20).

 

Ini menyaksikan U Mobile berjaya merampas penguasaan pasaran antara 1 hingga 2 mata peratusan setiap tahun, untuk sembilan tahun berturut-turut daripada Big 3.

 

“Kami berpendapat U Mobile akan terus berusaha mencapai skala hasil lebih besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk mencatatkan keuntungan bersih mampan. 

 

“Ini akan menjadikan persaingan pasaran sengit dengan U Mobile yang mungkin menawarkan produk lebih menarik berbanding Big 3, pada pandangan kami. 

 

“Namun, kami fikir telco itu mungkin tidak mahu terlebih agresif dan mencetuskan peperangan harga yang dijangka meluaskan kerugiannya, berdasarkan kunci kira-kiranya dan potensi tawaran awam awal (IPO),” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

CGS-CIMB kekal ‘neutral’ ke atas sektor tersebut kerana prospek pertumbuhan mudah alih yang suram.

 

Baca : U Mobile bakal ‘rampas’ kedudukan 3 syarikat telekomunikasi besar

 

U Mobile bagaimanapun menyaksikan perkhidmatan mudah alihnya berkembang dengan perlahan kepada 2.7% pada FY20, mungkin disebabkan oleh jualan SIM prabayar yang terjejas akibat penutupan kedai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Namun, bagi CGS-CIMB, prestasi itu masih lagi baik berbanding penguncupan 6.5% yang dicatatkan oleh Big 3.

 

“Walaupun mempunyai perbelanjaan modal yang lebih rendah berbanding Big 3 (RM773 juta hingga RM1.2 bilion), namun rangkaian U Mobile mengadaptasi lonjakan atau perubahan trafik data ekoran ‘lockdown’ COVID-19 dengan baik,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com